Ketua Kampung Ditahan Curi Lembu.

| October 14, 2020 | 0 Comments

Ketua Kampung Ditahan Curi Lembu. | TAMPIN: Enam lelaki termasuk ketua kampung ditahan kerana disyaki mencuri seekor lembu jantan di Kampung Sungai Dua, Gemencheh dekat sini Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintenden Ahmad Pilus Zainal berkata, kejadian pukul 2.20 petang disedari pemiliknya berusia 70 tahun apabila terserempak dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda mencurigakan.

Menurut beliau, ketika itu pemilik lembu dan anak lelakinya ingin melihat ternakannya di kawasan belukar berhampiran ladang ayam namun terserempak dengan kenderaan pacuan empat roda warna merah.

“Kenderaan itu dinaiki empat lelaki termasuk ketua kampung berkenaan. Penternak menghalang kenderaan itu untuk diperiksa.

“Sebaik diperiksa, pemilik lembu terkejut melihat seekor lembu jantan terikat dan ditutup dengan kanvas disumbatkan ke dalam kenderaan berkenaan,” katanya ketika dihubungi dekat sini tadi.

Ahmad Pilus berkata, berlaku pertengkaran antara mereka sebelum kumpulan menaiki pacuan roda melepaskan lembu tersebut.

Menurutnya, penternak membuat laporan polis dan enam lelaki berusia 35 hingga 50 tahun termasuk seorang ketua kampung ditahan.

Dua daripada suspek ada rekod jenayah mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu mencuri.

Kesemua suspek direman tiga hari dari 13 Oktober sehingga esok untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Sumber : Utusan

Tags: , , , , ,

Category: INFORMASI, JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *