Lakukan Amang Seksual Pada Anak Sendiri Ibu Ditahan Lagi | KUALA SELANGOR – Seorang ibu yang disyaki melakukan hubungan seks dengan anaknya di Puncak Alam di sini, ditahan bagi siasatan satu lagi kes sama di sekitar Sungai Buloh, hari ini.
Penahanan suspek berusia 33 tahun itu dilakukan selepas remannya sebelum ini Ibu Pejabat Polis Kuala Selangor berakhir hari ini dan turut ditahan bagi membantu siasatan adalah bapa tiri mangsa berusia 30an.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, penahanan itu dilakukan susulan laporan dibuat mangsa melibatkan remaja perempuan berusia 15 tahun di Balai Polis Saujana Utama kelmarin.
Katanya, siasatan awal kes mendapati kejadian dipercayai berlaku di sebuah hotel pada Januari lalu dan mangsa tidak bersekolah.
“Kita akan menahan kedua-dua suspek yang kini berada dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor. Kebenaran tempoh ke atas kedua-dua suspek akan diperoleh dari mahkamah esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kanak-Kanak 2001.,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya sudah melengkapkan siasatan kes melibatkan dua individu tersebut.
“Namun, kita akan mengambil tindakan pendakwaan selepas selesai kes baharu di Sungai Buloh berkenaan dengan siasatan mengikut Seksyen 14 dan 5 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.
Sumber: KOSMO
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Pelajar Kolej Dituduh Lakukan Amang Seksual Pada Budak 11 Tahun
Pelajar Kolej Dituduh Lakukan Amang Seksual Pada Budak 11 Tahun | Melaka: Pelajar tahun akhir sebuah kolej dituduh di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas dua tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Adib Hishammuddin, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Mengikut pertuduhan, dia yang sedang mengikuti jurusan elektrik didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Taman 1 Bukit Beruang antara jam 4 petang hingga 9 malam, 14 November lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengulangi perbuatan itu terhadap kanak-kanak sama di tandas awam dan bilik persalinan perempuan bersebelahan Kompleks Tenis Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Ayer Keroh pada 20 November lalu, kira-kira jam 12 tengah hari.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang mengikuti latihan di Perak itu dikatakan mengenali mangsa melalui media sosial sejak beberapa bulan lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari mencadangkan jaminan RM10,000 berserta syarat tambahan mangsa dan semua saksi tidak boleh diganggu sehingga perbicaraan selesai.
Peguam Andrew Lourdes bagaimanapun merayu jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh sedang belajar dalam semester akhir.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.
Tarikh 11 Januari depan ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Sumber: Harian Metro