Lelaki Kurang Siuman Bergayut Di Papan Tanda Diselamatkan. | Serdang: Seorang lelaki kurang siuman yang bergayut di atas papan tanda di jejantas di Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan, di sini, hari ini, berjaya diselamatkan pihak bomba.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.07 petang.
“Tujuh anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, kami mendapati terdapat seorang lelaki berusia lingkungan 30-an cuba membunuh diri dengan bergayut di atas papan tanda di jejantas terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, lelaki itu yang dipercayai kurang siuman dan disyaki bertindak sedemikian akibat tekanan perasaan.
“Kami mengambil masa beberapa minit untuk memujuk lelaki berkenaan sebelum berjaya membawanya turun dari lokasi terbabit.
“Lelaki itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sumber : HM