Lelaki Sanggup Meredah Banjir Demi Selamatkan Bapa Mertua Yg Lumpuh. | Marang: Meskipun bahaya, pengawal keselamatan Ibni Dauda Arifin sanggup meredah banjir bagi menyelamatkan bapa mentuanya, Ramli Awang Kechik yang lumpuh seluruh badan akibat diserang strok hemorrhagic iaitu pendarahan dalam kepala.
Kesungguhan Ibni Dauda, 44, dapat dilihat menerusi video dimuat naik video salah seorang ahli keluarga di TikTok.
Dalam rakaman video itu, Ibni Dauda dilihat bersungguh-sungguh menarik bapa mentuanya berusia 64 tahun yang baring di atas kayu di alas dengan kain walaupun air sudah berada pada paras dada.
Berkongsi kisah itu, Ibni Dauda berkata, dia menyelamatkan bapa mentuanya semalam sebelum masuk waktu Zuhur.
Bapa empat anak itu berkata, dia tidak berseorangan sebaliknya dibantu anak, Mohd Izzat Iskandar, 16, dan adik iparnya, Mohd Saudi Ramli, 36.
“Saya dan ayah tidak tinggal bersama. Ayah di Kampung Alor Wan Syed manakala saya tinggal berdekatan iaitu di Kampung Pengkalan Berangan dengan jarak dua kilometer (km).
“Oleh kerana ayah terlantar sakit jadi saya ambil tanggungjawab bantu bapa mentua memandangkan ramai anaknya tinggal berjauhan dengannya.
“Mencabar juga sebenarnya kerana paras air tinggi namun mujur anak dan adik ipar bantu saya untuk alihkan ayah daripada rumah ke tebing sebelum dibantu orang kampung untuk ke pusat pemindahan,” katanya.
Ibni Dauda berkata, apa dilakukannya hanya untuk jalankan tanggungjawab sebagai menantu.
“Ikutkan, ia bukan kali pertama saya bantu ayah ketika banjir malah pernah juga sebelum ini.
“Ia kerana kawasan rumah ayah memang sering dilanda banjir cuma kali ini paling buruk dalam sejarah,” katanya.
Sementara itu, adik iparnya, Mohd Saudi Ramli, 36, berkata, bapanya diserang strok sejak 15 Mac tahun lalu.
Mohd Saudi berkata, sejak itu, bapanya terlantar malah tidak boleh duduk mahupun bangun kerana lumpuh.
“Memandangkan air naik tinggi jadi saya, abang ipar dan anak saudara sepakat alihkan ayah ke tempat selamat.
“Kami ambil masa 20 minit juga untuk alihkan ayah dari rumah ke tebing kerana terpaksa bergerak perlahan berikutan air tinggi,” katanya yang juga anak kedua daripada sembilan beradik.
Sumber : HM
ARTIKEL LAIN UNTUK DIBACA
Banjir: Jenazah warga emas terkandas 14 jam dalam rumah
Besut: Jenazah warga emas terkandas hampir 14 jam dalam rumah selepas kediamannya di Kampung Gaung di sini, dinaiki air sejak awal pagi, hari ini.
Difahamkan, Che Gayah Mohamad, 81, disahkan meninggal dunia pada jam 8 malam tadi akibat sakit tua selepas terlantar hampir enam bulan.
Cucunya, Nik Mohd Fhaiez Mohd Khalil, 30, berkata, jika diikutkan jenazah neneknya itu dikebumikan pada malam tadi tetapi disebabkan proses dokumentasi untuk mendapatkan permit kubur tidak lengkap ia terpaksa ditunda ke pagi hari ini.
“Pada 3 pagi tadi, banjir melimpah ke kawasan rumah sehingga hampir masuk ke dalam kediaman kami semua terkandas tidak dapat keluar.
“Kami cuba menghubungi bilik gerakan banjir tetapi tidak berjaya dan terus menunggu sekiranya ada anggota penyelamat yang boleh masuk ke kawasan ini.
“Sehingga 8 pagi hari ini, masih belum ada bantuan sampai untuk membawa keluar jenazah nenek ke Hospital Besut bagi mendapatkan pengesahan kematian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, mereka juga terpaksa meminta bantuan melalui media sosial supaya mereka dapat keluar dari kawasan rumah secepat mungkin.
“Syukurlah, pada jam 10 pagi hari ini ada bot persendirian yang berjaya masuk ke kawasan ini dan membantu kami membawa keluar jenazah ke jalan utama.
“Jenazah nenek saya dijangka dikebumikan petang ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gaung.
“Tanah perkuburan lama terletak di atas bukit tidak ditenggelami air,” katanya.