Lelaki Tular Video Tak Dapat Masuk Masjid Akhirnya Tampil Mohon Maaf. |SEREMBAN: Seorang lelaki mohon maaf secara terbuka kerana menularkan video dan mendakwa pengurusan Masjid Arraudah Taman Rasa Sayang, Senawang, di sini mengamalkan konsep ‘kayangan’ antara dua darjat kepada kariah solat Jumaat.

Lelaki berusia 59 tahun itu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak pengurusan dan petugas masjid yang terbabit dalam video berkenaan.

Dalam permohonan maaf itu, beliau juga meminta memadam rakaman itu di media sosial miliknya dan meminta orang ramai supaya berhenti menularkan video berkenaan.

Video dirakam lelaki itu tular sejak beberapa hari lalu, mendakwa Masjid Arraudah, Taman Rasa Sayang, Senawan itu pilih kasih selepas tidak berpuas hati kerana tidak dibenarkan masuk untuk menunaikan solat Jumaat pada Jumaat lalu.

Pihak masjid didakwa bertindak seperti yang dilakukan sebuah masjid di Putrajaya selepas mendapati seorang daripada jawatankuasa dibenarkan masuk meskipun terlambat.

Sementara itu, Ketua Pentadbir Masjid Arraudah, Zulkifli Muhamed berkata, video yang tular itu memberi tamparan hebat kepada imej masjid selain menyebabkan ahli jawatankuasa di dalam rakaman tertekan selepas dikecam netizen.

“Dakwaan lelaki itu berunsur fitnah kerana kami tidak mengamalkan konsep kuota 10 peratus ‘VIP’ dibenarkan masuk. Malah rakaman itu juga berunsur ugutan kerana perakam mengatakan akan menularkan video berkenaan.

“Kami mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), hanya 150 jemaah dibenarkan masuk ke dalam masjid bagi solat Jumaat secara siapa datang dulu dia dapat masuk (first come, first serve),” katanya ketika sidang media di perkarangan masjid berkenaan, hari ini.

Mengulas mengenai ahli jawatankuasa yang datang lambat, namun dibenarkan masuk, Zulkifli berkata, lelaki yang berjubah biru di dalam rakaman itu sebenarnya adalah Penyelaras SOP yang mempunyai akses keluar dan masuk masjid.

“Seramai sembilan sukarelawan ditugaskan untuk memastikan jemaah mengikut SOP yang ditetapkan. Jemaah yang datang lambat tidak dibenarkan,” katanya.

Justeru itu Zulkifli berkata, pihaknya membuat laporan polis pada 18 September lalu sebelum berjumpa dengan lelaki itu di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban ketika dipanggil memberi keterangan dan memutuskan untuk menyelesaikannya dengan cara baik.

Sumber : BH

Share.

Leave A Reply