Tiga lelaki dan dua wanita didapati terkandas di kawasan rekreasi air terjun di Gunung Bronang, Sarawak pada petang semalam. Situasi ini berlaku akibat ribut dan hujan lebat yang melanda kawasan-kawasan di Sarawak seperti Bau, Kuching, dan Sematan.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Henderi Ardimansyah mengatakan pihak mereka mendapat panggilan kecemasan dari salah seorang mangsa pada jam 6.50 petang, melaporkan bahawa mereka terkandas di sekitar kawasan itu. Selepas laporan telah dibuat, lima anggota bomba diarahkan untuk segera bergerak ke lokasi kejadian bagi menjalankan gerakan mencari dan menyelamat (SAR).

Menurut beliau, mangsa-mangsa itu telah diarahkan untuk berkumpul di satu kawasan selamat dan tidak bergerak ke mana-mana.

“Anggota bomba menggerakkan operasi menyelamatkan mangsa berkenaan sekitar jam 8.50 malam dan dianggarkan lima kilometer jarak untuk sampai ke lokasi mangsa”.

“Operasi itu turut mendapat kerjasama oleh tiga penduduk kampung berdekatan yang lebih arif untuk membantu menunjuk arah ke lokasi air terjun,” tambah beliau dalam kenyataan hari ini.

Tidak lama kemudian, pasukan bomba berjaya menjumpai kesemua mangsa pada jam 10.09 malam. Mereka semua dibawa turun dengan berjaya dan selamat kemudian diserahkan kepada keluarga masing-masing, sejam kemudian.

Punca mangsa gagal turun ke titik permulaan ke air terjun disebabkan kawasan Kuching, Bau dan Sematan yang dilanda ribut petir pada lewat petang semalam.

Kelima-lima mangsa kemudian diawasi oleh pasukan paramedik Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Apabila melihat ruangan komen di Facebook, ramai netizen yang berasa syukur kerana tiada apa-apa yang buruk berlaku kepada mangsa-mangsa terjejas. Netizen juga mencadangkan agar tempat rekreasi itu untuk menyediakan pemandu pelancong yang boleh menunjuk arah jalan hutan.

Sumber: Astro Awani

Share.

Leave A Reply