Lindungi Long Tiger. Ini Hukuman Dikenakan. | SUNGAI PETANI – Seorang lelaki berperwatakan wanita dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah melindungi lelaki berketurunan Rohingya dikenali sebagai Long Tiger, bulan lalu.

Tertuduh, Rusli Mat, 47, yang bekerja sendiri membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Ainna Ahmad.

Nurul Ainna menjatuhkan hukuman penjara tersebut dari tarikh tertuduh ditahan iaitu pada 28 Disember lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, Rusli yang mengenakan blaus belang hitam dan putih serta seluar jeans didakwa melindungi Abdul Hamim Ab Hamid dengan niat untuk mengelakkan lelaki terbabit daripada ditangkap.

Kesalahan tersebut dilakukan di LBS 854A, Kebun Tebu Jalan Kuala Ketil di sini kira-kira pukul 3.15 petang, 28 Disember tahun lalu.

Terdahulu Pada 15 Disember lalu, Long Tiger bertindak meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak melalui pintu hadapan pada 15 Disember lalu ketika sedang menunggu proses perbicaraan di bawah Seksyen 388 kerana pemerasan.

Suspek juga masih mempunyai status perbicaraan di bawah Seksyen 506 kerana mengugut dan mengurung bekas pekerjanya serta kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 di Mahkamah Sesyen Muar.

Baru-baru ini, polis menahan sepasang suami isteri warga tempatan yang berusia 41 dan 43 tahun disyaki rakan subahat kepada Long Tiger di Balai Polis Bukit Gambir, kira-kira 12.30 tengah malam.

Dua daripada empat anggota polis yang ditahan sebelum ini terlibat secara langsung dengan aspek kecuaian sehingga Long Tiger meloloskan diri, kini ditahan kerja sehingga habis proses rayuan sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Butiran lanjut mengenai tangkapan Long Tiger dan tiga suspek lain dijangka diberikan oleh Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor, tengah hari ini.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply