Majlis Pengebumian Bertukar Jadi Kecoh Tiba-Tiba Mayat Sedarkan Diri. | Orang ramai di satu majlis pengebumian di Peru baru-baru ini digemparkan dengan kejadian ‘aneh’ yang menyaksikan ‘mayat’ di dalam keranda tiba-tiba sedarkan diri.

Memetik laporan portal Newsweek, ketika acara pengebumian sedang berlangsung pada 26 April lalu, orang ramai yang berkabung telah mendengar bunyi ketukan aneh dari dalam keranda.

Ketukan itu dikatakan adalah dari ‘mayat’ seorang wanita yang masih hidup dan didapati tercungap-cungap ketika berada di dalam keranda.

“Dia membuka matanya dan berpeluh,” kata penjaga tanah perkuburan, Juan Segundo Cajo.

Tambahnya, dia juga segera menghubungi pihak polis untuk melaporkan mengenai kejadian tersebut.

Difahamkan, selepas wanita tersebut tersedar dan memerhatikan semua orang di pengebumiannya sendiri, keluarganya telah membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, doktor tidak mampu menyelamatkannya sehingga dia meninggal dunia beberapa jam kemudian.

Ini bermakna keluarganya terpaksa mengucapkan ‘selamat tinggal’ sebanyak dua kali.

Berikutan kejadian itu, keluarga wanita terbabit menuntut penjelasan dari pihak hospital.

Mereka percaya bahawa mendiang sebenarnya berada dalam keadaan koma ketika disahkan meninggal dunia untuk ‘kali pertama’.

“Kami ingin tahu mengapa anak saudara saya bertindak balas semalam ketika kami membawanya untuk dikebumikan.

“Kami mempunyai video yang memperlihatkannya menolak dan menyentuh keranda,” kata ibu saudara wanita itu.

Sementara itu, media tempatan melaporkan bahawa wanita tersebut dimasukkan ke hospital kerana terlibat dalam kemalangan.

Difahamkan, kemalangan membabitkan kereta itu berlaku di Jalan Chiclayo – Picsi di Lambayeque, di pantai utara Peru.

Nahas itu dikatakan telah meragut nyawa abang iparnya dan turut mengakibatkan kecederaan parah kepada tiga anak saudaranya.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Peru telah menjalankan siasatan di Hospital Wilayah Lambayeque iaitu tempat pertama kali mendiang dirawat selepas kemalangan.

Kejadian seperti ini bukan pertama kali berlaku. Menurut Newsweek, seorang wanita India berusia 76 tahun yang disahkan meninggal dunia disebabkan COVID-19 pada tahun lalu dipercayai tersedar sejurus sebelum proses pembakaran mayatnya.

Malah, pada tahun yang sama, seorang lelaki di India turut disahkan meninggal dunia selepas dilanggar motosikal, tersedar di dalam peti sejuk bilik mayat.

Sumber : Siakapkeli

Share.

Leave A Reply