Mayat Tentera Lemas Di Sungai Pahang Ditemui.

| August 31, 2021 | 0 Comments

Mayat Tentera Lemas Di Sungai Pahang Ditemui. | BERA: Mayat Lans Koperal Mohamad Azrin Mat Isa yang dilaporkan lemas ketika menjalani latihan taktikal Eksesais Para predator di Kampung Batu Bor, Bera, dijumpai di Sungai Pahang kira-kira jam 7.55 pagi ini.

Mayat mangsa berusia 27 tahun itu, ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian, timbul di tebing Kampung Serengkam, daerah Maran, kira-kira 40 kilometer daripada lokasi dia dilaporkan lemas.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat Mohamad Azrin dijumpai bot orang awam yang terlibat dalam operasi mencari mangsa yang masuk hari keempat, hari ini.

Terdahulu, seramai 141 anggota bomba dan penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, nelayan dan unit amal terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa, melibatkan 30 buah bot.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.

Ahad lalu, Mohamad Azrin hilang selepas terjatuh ke Sungai Pahang ketika cuba menyeberangi sungai berkenaan ketika menjalani latihan.

Dalam kejadian kira-kira 4.40 petang itu mangsa yang merupakan anggota 10 Briged Para sedang melaksanakan fasa latihan taktikal menyeberangi sungai.

Petang semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli meninjau dan menyertai operasi pencarian mangsa.

Sumber : Astro

Tags: , , , , , ,

Category: INFORMASI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *