Nahas Uitm: Permohonana maaf Diterima. Ini Luahan Suami Wanita Yg Melanggar 4 Orang Penuntut UiTM. | KHALIFAH MEDIA NETWORKS : DUNGUN: “Saya menangis kerana Muhammad Ammar Danish sanggup memaafkan isteri. Yang melanggar dia dan tiga rakannya yang maut dalam kemalangan pada malam Rabu lalu. Saya tahu ujian ini amat berat, tetapi dia tetap memaafkan,” kata Azhar Ahmad, suami kepada pemandu wanita yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan tiga penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun itu.
Dalam kejadian pada jam 7.20 malam itu. Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, menjadi satu-satunya mangsa yang cedera dan selamat. Manakala tiga rakannya, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi,20; dan Khairil Anwar Jamaludin,20; maut serta-merta di lokasi kejadian.
PERMOHONAN MAAF DITERIMA
Azhar,53, berkata, dia kini berasa lega selepas permohonan maafnya diterima Muhammad Ammar Danish dan keluarganya hari ini selepas dia bertemu mereka sebaik penuntut itu dibenarkan keluar dari wad Hospital Dungun, kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.
“Dalam keadaan masih sakit akibat kemalangan itu, Muhammad Ammar Danish menerima kemaafan saya sambil berkata tiada siapa mahu perkara sebegitu berlaku .
“Keadaan itu membuatkan saya menangis dan sangat bersyukur kerana dia sudi memaafkan saya dan isteri,” katanya.
Azhar berkata, beliau juga sudah bertemu ibu bapa pelajar itu, Muhammad Ridhuan Mohd Shariff, 52, dan Siti Asiah Abdullah Sani, 48, malam tadi.
JUMPA IBU BAPA MANGSA
“Saya berjumpa mereka dan pasangan suami isteri itu juga sudi memaafkan atas apa yang berlaku. Saya tahu ia bukan perkara yang mudah, tetapi sekurang-kurangnya kesediaan mereka memaafkan meringankan beban saya yang sangat kesal kejadian membabitkan isteri saya itu berlaku.
“Mereka sekeluarga sangat baik dan faham dengan situasi yang berlaku,” katanya.
Azhar berkata, dia juga terharu dengan kesediaan keluarga Allahyarham Ku Adib Aizad dan Khairil memaafkan kesalahan yang berlaku itu.
Katanya, “Saya bersyukur dan sangat gembira selepas membaca laporan akhbar semalam, mereka menerima permohonan maaf saya itu.
“Saya juga bersedia bertemu dengan semua keluarga mangsa sebaik mereka bersedia menerima kehadiran saya. Saya faham perasaan keluarga kehilangan insan tersayang akibat kejadian malang itu, sampai bila pun saya sanggup menunggu asalkan mereka sudi bertemu,” katanya.
BERITA TERDAHULU
Nahas UiTM : ‘Saya maafkan, kalau tidak dendam takkan habis’
“Saya maafkan dia. Kalau tidak, dendam tak akan habis”. Walaupun masih bersedih, Jamaluddin Hussin, 53, menerima permohonan maaf suami kepada pemandu wanita yang merempuh dua motosikal dan mengorbankan anaknya, Khairul Anwar, 20, serta dua lagi pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Rabu lalu.
Jamaluddin dan isteri serta keluarga masih bersedih dengan kehilangan anak bongsu mereka, sekali gus belum bersedia bertemu dengan suami wanita itu.
“Saya reda dan terima apa yang berlaku itu. Sebagai orang Islam, saya maafkan dia. Kalau tak maaf, dendam tidak akan habis sampai bila-bila.
TETAP AMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG
“Bagaimanapun, saya tetap akan mengambil tindakan undang-undang untuk keadilan arwah anak saya kerana ia membabitkan nyawa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jamaluddin berkata, kehilangan anak bongsunya itu mendatangkan kesan mendalam kerana semua anak lelakinya sudah meninggal dunia.
Anak sulungnya, Muhammad Khairul Izzudin, meninggal dunia tujuh tahun lalu.
Beliau berkata, isterinya, Norma Mohamed Nor, 52, masih memegang baju arwah anak mereka untuk melepaskan rindu kerana amat rapat dengan arwah anak.
“Berat sungguh ujian ini, namun saya perlu kuat dan reda dengan ketentuan ini,” katanya.
Suami kepada suspek, Azhar Ahmad, 53. Mewakili isterinya dalam memohon maaf kepada semua keluarga kepada mangsa yang maut dalam kemalangan itu.
Azhar berharap dapat bertemu semua ahli keluarga mangsa sekiranya mereka menerima permohonan maaf terbabit.
Dalam kemalangan kira-kira jam 7.20 malam Khamis lalu. Sebuah kenderaan Utiliti Sukan (SUV) dipandu seorang wanita merempuh dua motosikal ditunggang empat pelajar dari belakang.
Selain tiga pelajar itu yang maut, seorang lagi pelajar. Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, 20, cedera di pinggang dan masih menerima rawatan di Hospital Dungun.
Berikutan kejadian itu, polis menahan pemandu wanita berusia 49 tahun dan direman untuk siasatan lanjut. Nahas Uitm
Sumber : BH