Najib Razak Mungkin Diampunkan Kata Tun M. Ini SEBABNYA. | Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad percaya bekas perdana menteri Najib Razak yang kini dipenjarakan ‘berkemungkinan besar’ akan menerima pengampunan pada satu masa nanti.
Dalam satu kenyataan hari ini, Mahathir kesal dengan kelewatan perbicaraan SRC International membabitkan Najib sehingga menyebabkan banyak kes lain tertangguh.
“Ada pepatah Inggeris yang berkata “justice delayed is justice denied” yang boleh kita terjemah sebagai “keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang terabai”.
“Kerana kes SRC Najib mengambil masa yang amat panjang (empat tahun) banyaklah kes-kes pencurian, salah guna kuasa, rasuah yang melibatkan ramai tokoh-tokoh politik tertangguh dan tidak dihadap ke mahkamah.
“Ada penjenayah yang meninggal dunia pun. Kelewatan perbicaraan akan menghasil keadilan terabai,” kata ahli parlimen Langkawi itu yang kini mengetuai parti Pejuang.
Pada Selasa lalu, Najib, yang berkhidmat sebagai perdana menteri keenam dari 2009 hingga 2018, dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan berhubung tujuh pertuduhan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.
Dalam keputusan sebulat suara, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.
“Sekarang Najib dibicara berkenaan kes lain yang juga akan mengambil masa yang panjang. Saya percaya hakim-hakim juga kurang senang dengan begitu banyak kes tertangguh.
“Kelewatan ini menjadi lebih buruk kerana perlakuan Najib dengan peguamnya. Bermacam alasan diguna untuk menghalang perbicaraan,” tambah Mahathir.
Katanya, pada masa ini banyak laporan dibuat berhubung kes rasuah yang serius yang belum dibicarakan.
“Besar kemungkinan penjenayah akan terlepas dari dihukum kerana jenayah yang dilakukan oleh mereka.
“Benarlah seperti pepatah Inggeris bahawa keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang terabai.
“Bagi Najib besar kemungkinan ia akan diampun setelah dipenjara,” kata Mahathir tanpa menghuraikan lebih lanjut.
Sumber : Malaysiakini