Peguam Bela Tertuduh Bawa Patung. Ini Puncanya. | KHALIFAH MEDIA NETWORKS : KOTA KINABALU – Suasana di Mahkamah Koroner, hari ini, menjadi tumpuan selepas peguam bela salah seorang remaja tertuduh, Datuk Ram Singh bersama rakan guamannya membawa sebuah patung ke prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Patung berkenaan digunakan oleh Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu. Tujuannya untuk menunjukkan kedudukan tubuh serta kecederaan yang dialami arwah ketika kejadian tragis pada awal pagi 16 Julai lalu.
Dalam keterangannya semalam, Dr Jessie menegaskan kecederaan dialami pelajar Tingkatan Satu itu konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi. Bagaimanapun, berdasarkan pemeriksaan lokasi kejadian dan ketinggian pagar konkrit di koridor tingkat tiga asrama sekolah berkenaan, beliau menyimpulkan mustahil arwah terjatuh sendiri atau ditolak.

“Berdasarkan ketinggian pagar konkrit yang lebih tinggi daripada ketinggian badan arwah, kebarangkalian Zara Qairina terjatuh tanpa bantuan amat tipis. Malah, tidak logik juga jika arwah ditolak dari koridor tersebut,” katanya.
Prosiding Hari Kedua
Prosiding hari ini menyaksikan Dr Jessie dijangka menjawab soalan lanjut daripada Pegawai Pengendali Jabatan Peguam Negara (AGC), selain soalan pihak berkepentingan termasuk ibu bapa arwah.
Ibu arwah, Noraidah Lamat, 45, hadir bersama pasukan guamannya yang diketuai Shahlan Jufri. Manakala bapa arwah, Mahathir Hashim @ Marikin, 44, diwakili peguam Sherzali Asli. Kedua-dua pihak dijangka mengemukakan soalan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai punca kematian anak mereka.
Turut dijangka bertanyakan soalan ialah peguam yang mewakili lima remaja tertuduh dalam kes buli di Mahkamah Kanak-Kanak. Seorang tertuduh diwakili Datuk Ram Singh bersama Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan, manakala empat lagi tertuduh diwakili Azhier Farhan Arisin bersama Abdul Fikry Jaafar Abdullah.
Latar Belakang Kes
Pada 16 Julai lalu, Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya sekitar jam 1 pagi. Beliau kemudian disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Kes ini menjadi perhatian umum selepas timbul dakwaan bahawa arwah sebelum itu menjadi mangsa buli rakan sebaya. Ekoran itu, lima pelajar lelaki berusia antara 13 hingga 14 tahun dituduh di Mahkamah Kanak-Kanak atas kesalahan membuli.
Inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan diadakan bagi menentukan punca sebenar kematian, sama ada ia berpunca daripada perbuatan jenayah atau sebaliknya.
Fokus Siasatan
Prosiding semalam berlangsung kira-kira tiga jam dengan Dr Jessie tampil menjelaskan hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap jenazah. Keterangan lanjut beliau hari ini dijangka memberi fokus kepada kecederaan spesifik yang dialami arwah. Termasuk kesan hentakan, patah tulang, dan kemungkinan berlaku sebelum atau selepas jatuh.
Mahkamah juga akan meneliti sama ada terdapat sebarang unsur lain yang boleh mengaitkan kecederaan dialami arwah dengan tindakan pihak tertentu.
Prosiding inkues dijadualkan bersambung sehingga semua pihak selesai mengemukakan soalan kepada saksi pakar sebelum Koroner membuat keputusan.



