Pekebun Letak Keropok ‘Beracun’ Serah Diri Pada Polis. | KHALIFAH MEDIA NETWORKS : BALING: “Agak mustahil keropok yang dicampur racun itu dan digantung pada ketinggian lebih 1.2 meter. Dan diikat dengan ketat menggunakan tali tangsi itu mampu dicapai kanak-kanak kecil.
“Bagi saya, sama ada ia diambil orang yang lebih besar. Atau dijatuhkan oleh kera liar sebelum diambil dua kanak-kanak itu dan makan,”. Kata seorang pekebun yang dikenali sebagai Am, 35.
Pekebun itu mendakwa, dia dimaklumkan adik lelakinya yang berusia 34 tahun itu. Bahawa keropok yang bercampur racun itu juga tidak digantung pada pagar berdekatan jalan. Sebaliknya diletakkan di kawasan laluan kera berdekatan hutan.
Dakwanya, tidak mungkin dua kanak-kanak berusia dua dan tiga tahun itu dapat mengambil makanan ringan itu dengan mudah walaupun diikat pada pagar kebun.
“Hanya terdapat dua kemungkinan iaitu sama ada orang dewasa mengambilnya atau kera ambil dan terjatuh di mana-mana.
“Adik juga beritahu dia meletakkan kira-kira lima bungkusan makanan ringan dicampur racun tikus pada pagar kebun dan tiga bungkusan dipercayai sudah diambil kera manakala satu hilang dan satu lagi masih berada di situ,” katanya ditemui di Kampung Banggol Berangan, di sini malam tadi.
Dia yang juga ahli keluarga kepada dua kanak-kanak itu hadir pada majlis pengebumian kanak-kanak, Muhammad Akil Syauqi, 3, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, malam tadi.
RACUN TIKUS DARIPADA CHINA TIDAK BERDAFTAR
Dakwanya lagi, racun tikus dari China dan tidak berdaftar itu turut digunakan beberapa pekebun lain di kawasan itu.
Sudah menjadi amalan biasa yang mana racun tidak berdaftar ini ada dijual di kedai-kedai di sekitar Kulim malah turut dijual secara dalam talian.
“Racun ini murah yang mana ia dijual pada harga RM3 sepaket.
“Memang biasanya guna makanan ringan jenis itu kerana warna bungkusan yang menarik selain warna keropok yang terang dan monyet akan menjilatnya apabila terkena pada bahagian jari.
“Kami tak guna buah sebab bimbang lembu yang kami ternak menjilat atau makan buah itu,” dakwanya.
Am mendakwa, berdasarkan pengetahuannya, kera liar yang mengambil jajan itu pasti akan memakan makanan itu.
PEKEBUN SERAH DIRI PADA POLIS
Sementara itu, katanya, adik lelakinya yang juga seorang pekebun dan membela lembu itu ditahan ketika menyerah diri di Balai Polis Kulim, semalam untuk siasatan lanjut.
Am mendakwa, dia juga adalah individu yang membawa arwah Muhammad Akil Syauqi dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, ke Klinik Kesihatan Malau untuk mendapatkan bantuan rawatan segera pada hari kejadian.
“Ibu arwah yang berlari meminta tolong dan saya bersama ibu turut membantu sedaya upaya kami. Kami mendoakan yang terbaik buat ibu arwah,” katanya.
JENAZAH ADIK MUHAMMAD AKIL SYAUQI DIKEBUMIKAN
Jenazah Muhammad Akil Syauqi, 3, kanak-kanak yang meninggal dunia. Selepas makan keropok yang mengandungi racun tikus, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan. Di sini, hari ini.
Terdahulu, jenazah kanak-kanak itu dibawa ke rumah neneknya di kampung berkenaan dari Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang.
Jenazah Muhammad Akil Syauqi kemudian dibawa ke Surau Lebai Ahmad, Kampung Banggol Berangan pada jam 8.40 malam untuk disembahyang.
Jenazah kanak-kanak itu kemudian dibawa ke tanah perkuburan dan dikebumikan pada jam 9.45 malam.
Turut kelihatan, ibu arwah, Nurain Hasnorizal, 25, dan ahli keluarga.
Sementara itu, datuk arwah, Hasnorizal Ab Wahab, 46, berkata, beliau bersyukur kerana urusan pengebumian cucunya selesai dan reda dengan apa yang berlaku.
Ibu kanak-kanak itu enggan ditemu bual media. Media sebelum ini melaporkan, dua beradik lelaki berusia dua dan tiga tahun kritikal selepas makan keropok yang mengandungi racun tikus yang digantung pada pagar kebun milik jiran mereka di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Ahad lalu.
Muhammad Akil Syauqi, 3, meninggal dunia pagi tadi, manakala adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, masih dirawat di Hospital Pulau Pinang.
Sumber : BH