Pemandu Lori Mabuk Rempuh 5 Kenderaan. Seorang Maut. |JOHOR BAHRU: Pemandu lori yang terbabas sehingga merempuh lima kenderaan di Kilometer 19 Lebuhraya Pasir Gudang dan mengakibatkan seorang maut dalam insiden Sabtu lalu, mempunyai 21 saman kesalahan trafik.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, berkata lelaki berusia 37 tahun berkenaan yang menerima rawatan di hospital bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis.
“Pemandu berkenaan dimasukkan ke hospital, manakala mangsa lain yang cedera menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya ketika dihubungi.
Kelmarin media melaporkan seorang lelaki 21 tahun yang memandu Perodua Alza meninggal dunia di hospital selepas keretanya serta empat kenderaan lain dirempuh lori dipercayai dipandu lelaki di bawah pengaruh alkohol.
Dalam kejadian jam 6.40 petang itu, lelaki berkenaan dalam perjalanan dari arah Pasir Gudang menghala ke Johor Bahru. Kemalangan membabitkan sebuah lori jenis Scania dan lima kereta termasuk PERODUA Myvi, Axia, Alza, PROTON Saga dan Wira.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber : BH