Peminat Astronomi Berpeluang Menyaksikan Hujan Tahi Bintang Eta Aquariid. Sabtu ini dijangka berlakunya curahan ‘hujan’ tahi bintang Eta Aquariid di negara kita. Baca seterusnya.

PUTRAJAYA: Peminat astronomi di negara ini berpeluang menyaksikan curahan ‘hujan’ tahi bintang Eta Aquariid menjelang awal pagi Sabtu ini, jika cuaca baik.

Menurut hantaran Agensi Angkasa Malaysia (Mysa) menerusi laman sosialnya, fenomena itu sebenarnya sudah boleh disaksikan sejak 19 April lalu sehingga 28 Mei ini.

“Bagaimanapun kemuncak taburan hujan meteor kejadian ini diunjurkan berlaku awal pagi 7 Mei 2022 dengan purata dianggarkan sekitar 50 meteor per jam dapat dilihat,” jelasnya.

Mysa memaklumkan, peristiwa curahan Eta Aquariid di langit itu merujuk kepada titik asal kemunculan meteor tersebut di angkasa melibatkan sekitar kawasan buruj Aquarius.

Namun jelas agensi itu, kemunculannya yang merupakan induk daripada komet Halley, masih boleh berlaku dari pelbagai arah dengan had laju maksimum kelaziman 66 kilometer sejam.

Kenampakan juraian meteor itu pada kali ini diramalkan adalah baik kerana tiada gangguan daripada pantulan imej cahaya bulan ketika kemuncak tempoh curahan berlaku di angkasa.

Objek terapung satelit sejadi bumi itu belum lagi memasuki fasa bulan suku pertama yang dijangka berlaku pada 9 Mei ini sebelum fasa bulan penuh atau purnama pada 16 Mei depan.

Sementara itu, pakar falak tempatan, Shahrin Ahmad menerusi laman sesawangnya pula mengunjurkan kemuncak meteor Eta Aquariid bermula lebih awal pada pukul 4 petang 6 Mei.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Falak Negeri Selangor berpendapat, prospek bagi cerapan adalah bagus disebabkan tiada cahaya bulan mengganggu ketika waktu tersebut.

Uniknya, fenomena curahan meteor berkenaan muncul 10 hari sebelum kejadian gerhana bulan penuh yang diramalkan mulai pukul 9.32 pagi sehingga 2.50 petang pada 16 Mei ini.

Fenomena itu bagaimanapun tidak dapat disaksikan di Malaysia kerana berlaku pada waktu siang tetapi hanya dapat dilihat jelas di bahagian Amerika Utara, Eropah dan Afrika.

Sumber: UTUSAN

Share.

Leave A Reply