Lebih 200 penduduk di Kampung Batu 6, di sini, resah apabila kerap terputus hubungan berikutan jambatan sementara yang dibina sering tenggelam jika hujan lebat.

Jambatan itu turut menghubungkan Kampung Batu 6 ke Kampung Batu 5 dan menjadi laluan utama penduduk untuk ke Bandar Gua Musang.

Penduduk, Suzili Sulaiman, 46, berkata, sejak bulan lalu, jambatan sementara yang dibina setinggi dua meter dari sungai terbabit kerap tenggelam kerana hujan lebat.

“Selepas air surut, kami akan bergotong-royong membersihkan jambatan terbabit kerana berlumpur selepas dinaiki air dan membahayakan pengguna laluan itu.

“Keadaan ini merisaukan kami kerana memberi kesan kepada pembelajaran anak-anak, di sini, terutama yang akan menduduki peperiksaan tahun ini. Sekolah paling dekat dengan kami sejauh 30 kilometer (km) di Bandar Gua Musang,” katanya.

Pendudul lain, Rozi Ismail, 68, berkata mereka pernah dijanjikan pembinaan jambatan kekal pada Mei lalu, namun sehingga kini masih belum ada.

“Sampai bila kami ingin hidup dalam keadaan begini hanya menggunakan jambatan sementara. Tambahan pula kini sudah memasuki musim tengkujuh.

“Saya harap pihak berkenaan dapat mempercepatkan pembinaan jambatan kekal seperti yang dijanjikan. Ini untuk memudahkan kami melakukan urusan di Bandar Gua Musang dan menghantar anak ke sekolah.

“Sebelum menggunakan jambatan sementara ini, terdapat jambatan konkrit yang lebih tinggi, namun ia rosak apabila banjir besar. Jadi kami harap jambatan baru yang akan dibina lebih kukuh daripada sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Ab Aziz Yusoff berkata, beliau sedia maklum masalah yang dihadapi oleh penduduk. Dia meminta mereka bersabar kerana jambatan yang dijanjikan akan dilaksanakan.

“Jambatan yang akan dibina adalah jambatan konkrit yang sama tinggi dengan laluan kereta api,” katanya.

Sumber: Harian Metro

 

Baca Juga: Rekaan Model Rumah Terapung Tenggelam Dihari Pelancaran

Sebuah model rumah terapung yang dilancarkan di Panama akhir bulan lalu gagal memenuhi konsepnya apabila ia tenggelam di hadapan penonton ketika majlis perasmian, lapor akhbar Daily Star kelmarin.

Menurut syarikat teknologi inovasi laut, Ocean Builders, SeaPod dibina bertujuan bagi memenuhi sebahagian daripada rancangan untuk menjadikan 72 peratus permukaan Bumi yang diliputi air sebagai ‘syurga’ kelestarian ekosistem.

Bagaimanapun, ketika pelancaran rumah futuristik yang bernilai £1.3 juta (RM6.7 juta) itu, ia tumbang sebelum tenggelam di hadapan penonton termasuk Presiden Panama, Laurentino Cortizo.

Ocean Builders berkata, struktur yang tinggi itu dilengkapi batang keluli besi berisi udara bersaiz 47.8 meter padu yang menghasilkan daya apungan yang sangat tinggi.

Ia bahkan mampu menampung keseluruhan struktur SeaPod setinggi 3 meter di atas air.

Malangnya, kegagalan fungsi pam lambung menyebabkan prototaip SeaPod tidak seimbang dan tumbang.

“Seperti semua inovasi dan teknologi baharu, terdapat fasa percubaan dan kesilapan. Ini memberi peluang kepada kita untuk belajar, menambah baik dan terus berinovasi untuk teknologi lautan,” kata jurucakap SeaPod dalam satu kenyataan.

Ocean Builders bagaimanapun mengesahkan bahawa tiada individu cedera dalam insiden tersebut yang dianggap sebagai ‘kemalangan yang kelakar’.

“Kira-kira pukul 4.35 petang (waktu tempatan) pada Khamis, 22 September, SeaPod mengalami masalah dalam sistem pengepaman, menyebabkan air melimpah di bilik jakuzi.

“Air melimpah dengan amat pantas dan mengalir ke bahagian lain sehingga menyebabkan apa yang kami gelar sebagai ‘senget’ (keadaan struktur SeaPod),” kata Ocean Builders.

Sumber: KMN

 

 

Share.

Leave A Reply