Perkahwinan Syamsul. Ini KOMEN Datuk Yusuf Haslam Yg Ramai Tunggu. | KUALA LUMPUR: Penerbit terkemuka tanah air, Datuk Yusof Haslam berharap anaknya, Syam­sul bersemuka dan dapat memujuk Puteri Sarah Liyana dengan baik sekiranya benar masih menyayangi wanita tersebut.

Menurut Yusof, sebagai bapa, dia tidak lagi dapat berbuat apa-apa kerana Syamsul juga sudah membuat keputusan sendiri dengan menikahi Ira Kazar tanpa restu keluarga.

“Sudah bernikah bukan? Jadi saya harap semua dapat teruskan kehidupan. Baik saya, isteri, Sarah, Syamsul, keluarga, semua kena move on. Benda sudah jadi dan tak dapat patah balik.

“Cuma saya harap Syamsul dapat jalankan tanggungjawab sebagai suami dan bapa secara berhemah.Kalau kena pergi mahkamah selepas ini pun, selesai cara baik. Kalau jodoh berpanjangan, lakukan terbaik.

“Kalau benar sayangkan isteri, jagalah dan pujuklah dia baik-baik sebab Sarah pun sudah lama makan hati. Ini, pujuk pun tidak. Kalau tiada jodoh pun, kena reda tapi tanggungjawab tetap kena jalankan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia semalam.

Selain itu, akui Yusof, dia tidak akan mencampuri urusan rumah tangga Syamsul dengan Ira memandangkan selama ini anaknya itu tidak mahu berbincang dengan keluarga.

“Saya doakan yang baik-baik buat anak, menantu dan cucu-cucu. Tetapi tentang urusan dia dan rumah tangganya dengan Ira, saya tak nak campur.Belum sampai waktunya untuk saya komen kerana nanti akan melukakan hati banyak pihak lain.

“Sebagai bapa, saya reda dengan apa yang terjadi. Cuma, sukar untuk saya buang rasa ralat kerana selama empat tahun ini, mengapa dia tidak mahu berterus-terang? Kenapa selama ini menepis dan menipu.

“Kalau mengaku daripada awal, ia mungkin dapat diselesaikan dengan cara lebih baik dan tidak sampai jadi bahan permainan panas di semua media massa,” katanya.

Dalam pada itu, Yusof percaya, seandainya mana-mana lelaki yang mampu mahu mengamalkan poligami, perkara yang harus diutamakan adalah menggunakan saluran atau cara yang betul.

“Nak berpoligami tiada masalah kalau ikut cara yang betul. Tetapi bukan dengan cara senyap atau tak ada jawapan.

“Kalau isteri tahu daripada awal, mungkin ada pertimbangan. Tetapi kalau sampai bertahun-tahun ia jadi bahan rumor, ada yang tak kena cara. Sebagai lelaki sepatutnya Syamsul selesai dengan cara baik,”katanya.

Semalam, pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu mengejutkan dunia seni hiburan tanah air dengan mendedahkan dirinya sudah mengahwini Ira berwalikan ayah mertuanya yang juga pelakon terkenal, Kazar Saisi.

Pengumuman tersebut secara tidak langsung menamatkan spekulasi hubungan Syamsul dengan Ira yang didakwa berlangsung sejak empat tahun lalu.

TERDAHULU DILAPORKAN,“Saya harap keputusan (berkahwin de­ngan Ira Kazar) ini dirahmati dan diberkati Allah, sekali gus menghentikan segala fitnah yang timbul sebelum ini”.

Itu luahan pengarah, Syamsul Yusof selepas membuat pe­ngakuan sudah bernikah dengan wanita pilihannya, Ira Kazar, semalam.

Dalam perkongsian yang dibuat menerusi Instagram itu, pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu turut memohon maaf kepada ahli keluarga, termasuk ibu bapanya, Datuk Yusof Haslam dan Datin Fatimah Ismail, yang turut terheret dalam rentetan kemelut rumah tangganya.

“Saya tidak mahu membelakangkan sesiapa, termasuk keluarga. Saya harap doa yang baik-baik daripada mereka. Saya tidak sempurna, malah membuat kesilapan. Jadi, doakan yang baik-baik.

“Saya mahu jalani hidup de­ngan tenang dan dalam keadaan reda. Saya hanya bergantung kepada Allah Yang Satu. Apa yang penting, saya harapkan semua ini dapat mengelakkan sebarang fitnah,” kongsinya.

Sekian lama diasak de­ngan spekulasi kononnya sudah bernikah buat kali kedua, Syam­sul menamatkan segala teka-teki apabila mengesahkan sudah menjadi suami kepada anak pelakon, Kazar Saisi itu pada maj­lis pernikahan yang diadakan di Thailand.

“Alhamdulillah, saya telah bernikah secara sah dengan Ira, berwalikan bapanya di Thailand.

“Pernikahan kami telah didaftarkan dan ia dilakukan di sini untuk memudahkan beberapa perkara.

“Pada penghujungnya, saya kena letakkan noktah tentang hal rumah tangga yang tidak sepatutnya saya kongsikan di media sosial,” katanya.

Terdahulu, kemelut rumah tangga Syamsul dan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana memuncak selepas pelakon itu mendedahkan mengenai keha­diran orang ketiga dalam rumah tangga mereka.

Enggan membiarkan perkara itu berlarutan, Puteri Sarah memfailkan satu tindakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di pejabat agama terhadap Ira, Jun lalu.

Syamsul dan Ira, sebelum ini mengambil pendekatan me­ngunci mulut tentang hubungan mereka dan sering mengelak apabila ditanya mengenai perkara itu.

Dalam perkongsian sama, Syamsul turut memohon Pu­teri Sarah supaya menghentikan tindakannya membuka cerita rumah tangga mereka kepada umum dan segera kembali ke pangkuannya untuk meleraikan konflik yang tercetus.

“Puteri Sarah masih isteri saya. Saya harap dia pulang ke rumah, bawa anak-anak untuk selesaikan isu rumah tangga kami. Saya masih suaminya.

“Saya mahu ketenangan dan ambil jalan berbincang. Sampai bila kita mahu mengaibkan satu sama lain? Sudah-sudahlah,” jelasnya.

Sumber : UM

Share.

Leave A Reply