Petugas Pengurusan Jenazah Mangsa Covid Terbaring Keletihan.| Surabaya: Sejak awal bulan ini, angka korban Covid-19 di Jawa Timur terus melonjak.

Dalam tempoh sembilan hari, sebanyak 68 jenazah sudah dikebumikan petugas mengikut protokol Covid-19.

Keadaan itu menyebabkan mereka kini mula keletihan kerana bertugas setiap hari.

Koordinator pengurusan jenazah Covid-19 Kota Madiun, Yulius Victoria berkata, pihaknya berharap pertambahan anggota kerana kakitangan sedia ada berdepan keletihan.

“Kami mengharapkan ada pertambahan anggota untuk menguruskan pengebumian mengikut protokol Covid-19.

“Kumpulan petugas yang ada kini sudah keletihan dengan jumlah jenazah yang semakin bertambah,” katanya.

Kelmarin, sebanyak 14 jenazah pesakit Covid-19 dikebumikan namun pasukan petugas hanya mampu menyelesaikan 12 daripadanya saja.

“Petugas tidak dapat memaksa kudrat menguruskan semua jenazah kerana perlu menjaga kesihatan dan stamina.

“Kami terpaksa tangguhkan pengebumian dua lagi jenazah keesokannya kerana terlalu letih,” katanya.

Yulius berkata, kebiasaannya pasukannya menguruskan antara 10 hingga 11 jenazah pesakit Covid-19 namun, kini jumlahnya terus bertambah.

Sumber : HM

Share.

Leave A Reply