PM Umum Pengeluaran Khas KWSP. Ini Tindakkan Tengku Zafrul. | PUTRAJAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperincikan lanjut susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pengeluaran khas simpanan persaraan sehingga RM10,000.

kwsp

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perkara itu akan diperincikan dalam masa terdekat.

“KWSP juga akan mengumumkan langkah-langkah perlu bagi menangani isu dana persaraan ahli-ahli KWSP yang telah berkurangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri mengumumkan berita baik itu sebagai memahami keperitan kalangan Keluarga Malaysia yang masih terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

Keputusan itu dibuat berdasarkan dapatan kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam fasa pemulihan selepas pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, ia adalah satu keputusan sukar kerana melibatkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas ini adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.

Kerajaan sebelum ini sudah pun membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lalu.

Dalam persidangan Dewan Rakyat kelmarin, Tengku Zafrul berkata, sekiranya pengeluaran dana ahli KWSP sebanyak RM10,000 dibenarkan, sebanyak 6.3 juta ahli yang layak terlibat sekali gus menyebabkan kemungkinan pengeluaran tambahan berjumlah lebih dari RM63 bilion.

Jelasnya, KWSP perlu melaksanakan pengimbangan portfolio dan perlu menjual lebih banyak aset pelaburan luar negara dalam keadaan pasaran yang tidak menentu terutamanya dengan krisis Rusia-Ukraine yang berlaku baru-baru ini.

Pada masa sama, kedudukan KWSP sebagai salah satu pelabur terbesar di pasaran saham dan bon tempatan terjejas, sekali gus mengurangkan kebolehan KWSP untuk menjana pulangan dividen kepada ahli.

Sumber : UM

Share.

Leave A Reply