PPBM & UMNO Bertembung Dalam PRU. Ini Jawapan TS Muhyiddin.

| October 2, 2021 | 0 Comments

Bertembung PPBM & UMNO Dalam PRU. Ini Jawapan TS Muhyiddin. | Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Muhyiddin Yassin berkata kemungkinan pertembungan parti itu dengan Umno dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) merupakan antara realiti politik yang perlu diterima dan Bersatu bersedia menghadapi sebarang kebarangkalian yang terjadi pada masa akan datang dengan cara serta strategi tersendiri.

Beliau berkata dalam menghadapi PRU15 apa yang penting adalah penilaian rakyat tentang sejauh mana parti politik itu dapat membantu mereka terutama berdepan Covid-19 masa kini dan siapa yang dapat membantu mereka dalam menghadapi cabaran yang mendatang.

Katanya sehubungan itu Bersatu akan terus menyantuni dan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat terutama ketika berdepan pelbagai cabaran dibawa Covid-19, yang akhirnya rakyat akan menilai sendiri apa yang Bersatu lakukan untuk mereka.

“Mungkin mereka (rakyat) menilai apa langkah saya buat dahulu atau bentuk bantuan pakej rangsangan yang telah kita keluarkan lebih RM530 billion, mereka menilai usaha kita mengatasi masalah Covid-19, proses vaksinasi berterusan yang bilangannya semakin meningkat.

“Jadi apabila kita terpaksa bertembung (dengan Umno) kita hadapi, itu realiti politik dan kita ada strategi serta cara kita…akhirnya kita serah kepada rakyat tentukan parti mana terbaik untuk mereka,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu, Sabah hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa Umno akan mempertahan dan tidak berkompromi mengenai kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi parti itu pada pilihan raya umum lepas.

Ditanya tentang pembahagian kerusi antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) di Sabah pada PRU15, beliau yang juga Pengerusi PN berkata perkara itu masih belum ditentukan bagaimanapun pihaknya telah memberi mandat buat Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Hajiji Noor yang juga Ketua Menteri Sabah untuk berbincang dengan parti komponen PN di Sabah terlebih dahulu.

“Sabah ada sedikit kelainan dari Semenanjung supaya ada keputusan yang baik untuk semua…kita bincang kerusi ini dengan mengambil kira kepentingan parti-parti lain dalam PN,” katanya.

Sementara itu beliau berkata PN telah membuat keputusan untuk menolak permohonan Parti Liberal Demokratik (LDP), sebuah parti tempatan Sabah, untuk menyertai gabungan itu dan beliau masih belum menerima permohonan Parti Cinta Sabah untuk menyertai PN yang terdiri gabungan parti Bersatu, PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Gerakan.

Terdahulu beliau menghadiri Mesyuarat Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sabah yang turut dihadiri Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee dan Hajiji.

Sumber : Malaysiakini

Tags: , , , , , , , , ,

Category: INFORMASI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *