PRN Melaka. Ini Permintaan Terbaru BN Kepada SPR. | MELAKA: Barisan Nasional (BN) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji semula pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang didakwanya amat ketat, selain ada yang tidak masuk akal.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata penilaian semula wajar dibuat segera selepas pelbagai rungutan diterima daripada petugas dan jentera parti yang tidak dapat melaksanakan tugas berkempen dengan sempurna.
“SOP dilaksana menyukarkan, lebih baik kita tak payah PRN, (kempen) rumah ke rumah tak boleh, lebih baik kita bertepuk tampar di rumah saja.
“Ada laporan kita terima dari jentera tak boleh pasang bendera, tidak boleh ada bilik gerakan di PDM (Pusat Daerah Mengundi).
“Saya mintalah SPR fikir semula SOP ini, janganlah terlalu sukar sangat hingga ada petugas diminta kad pengenalannya. Jentera kami di peringkat akar umbi trauma. Sebab itu banyak bendera tidak dapat dinaikkan sebab semua tak boleh keluar keluar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membentangkan manifesto BN di Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO, berkata aktiviti kempen bersemuka seperti menyapa penduduk dan pengundi di kawasan terbuka sepatutnya boleh dilakukan dengan penjarakan fizikal dan pematuhan SOP tertentu memandangkan Melaka sudah mencapai tahap vaksinasi yang tinggi.
“Takkanlah mahu berjalan ke pasar, mahu jumpa dan beri risalah pun tidak boleh?” katanya.
Katanya, negara pernah melalui fasa berkempen ketika pandemik seperti Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dan Slim tahun lalu, namun tiada kes jangkitan mendadak dikesan ketika itu.
“Di (PRK) DUN Slim dan Chini, BN dan UMNO mengambil SOP ini dengan serius, sebab itu tiada kes di sana.
“Untuk PRN Melaka, saya berasa kecewa dengan SOP dikenakan dan minta pihak yang terbabit untuk semak semula sebab yang melaksana (arahan) di bawah ini nampak seperti berlebih-lebihan, minta kad pengenalan semua,” katanya.
Beliau juga berharap pengundi di Melaka tidak takut untuk keluar mengundi pada 20 November ini dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa.
Sumber : BH