PU Azman Didakwa Lagi Atas 3 Pertuduhan. | KLANG – Penceramah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman didakwa lagi atas tiga pertuduhan amang seksual dan satu kelucahan melampau terhadap tiga remaja lelaki di dua mahkamah berasingan di sini, hari ini.

PU Azman atau nama sebenarnya, Azman Syah Alias, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen dan Majistret itu.

Di hadapan Hakim Syafeera Mohd. Said, tertuduh yang lebih dikenali dengan panggilan Cik Man dituduh dua kes amang seksual fizikal di sebuah inap desa di Sungai Udang di sini masing-masing pukul 12.15 tengah malam dan 1 pagi pada 20 Februari serta 29 Jun lalu.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, sekiranya disabitkan kesalahan bagi setiap pertuduhan.

Azman Syah yang masih bujang itu juga didakwa menggalakkan komunikasi secara seksual melalui aplikasi WhatsApp
dengan dituduh mengikut Seksyen 11 (1)(b) akta kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun.

Perbuatan itu antara pukul 4 petang hingga 7.30 malam di sebuah rumah di Kampung Meru di sini pada 16 Ogos lalu.

Ini melibatkan dua mangsa yang merupakan remaja lelaki berusia 17 tahun.

Cik Man juga didakwa di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abd. Rasid atas tuduhan melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki lain berusia 19 tahun di sebuah rumah di Jalan Sungai Bertek kira-kira pukul 9.15 malam pada 10 Jun lalu.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 377d Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun sekiranya disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar dan Azman Syah diwakili Peguam Fahmi Adilah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan keseluruhan RM24,000 bersama penjamin dan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa, keluarga dan saksi pendakwaan selain melapor diri di balai polis berhampiran rumah setiap awal bulan bermula bulan ini.

Sebutan semula bagi kesemua kes ditetapkan pada 12 Januari tahun depan.

Sebelum ini melaporkan Azman Syah didakwa di Mahkamah Sesyen pada 12 Oktober lalu atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun ini.

Sumber : Kosmo

 

 

ARTIKEL LAIN UNTUK DIBACA

PRU15: Nenek semangat mengundi walau bertongkat

KULIM – Meskipun terpaksa bergerak perlahan-lahan kerana tubuhnya yang membongkok, seorang warga emas, Rahmah Saad, 78, tetap menggagahkan diri untuk mengundi di Sekolah Kebangsaan Bukit Selarong di sini hari ini.

Warga emas itu yang hadir dari Taman Desa Aman di sini malah tidak mahu menggunakan kerusi roda sebaliknya mengatur langkah menggunakan tongkat ke pusat saluran mengundi kerana tidak mahu menyusahkan orang lain.

“Saya masih boleh berjalan, tak mahulah susahkan orang nak tolak gunakan kerusi roda. Walau dalam keadaan begini, saya tetap mahu mengundi bukan demi saya, sebaliknya untuk masa depan anak cucu.

“Ada dalam kalangan orang berusia yang saya kenali mengatakan yang kami ini dah tak perlu nak mengundi sebab dah tua dan hampir meninggal dunia.

“Tetapi bagi saya ini untuk kebaikan masa depan kita dan Alhamdulillah, anak-anak muda sekarang nampak bersemangat untuk mengundi,” katanya.

Dia ditemui pemberita selepas membuang undi di sekolah tersebut dengan ditemani anaknya, Nor Aishah Musa, 41, kira-kira pukul 8.45 pagi tadi.

Share.

Leave A Reply