Ramai Titipkan Doa Buat Arwah. Ini Respon Shuib.

| August 8, 2021 | 0 Comments

Ramai Titipkan Doa Buat Arwah. Ini Respon Shuib. | KUALA LUMPUR: Pelawak popular, Shuib Sepahtu, 37 masih tertanya-tanya apakah kebaikan arwah isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, 36, hingga terlalu ramai insan dikenali mahupun tidak menitipkan doa buatnya.

Biarpun pada akhirnya Allahyarham Siti Sarah ‘tutup mata’ selepas lebih 48 jam ditidurkan dan berada dalam keadaan koma ketika di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) akibat pandemik COVID-19, namun Shuib reda.

Bekas penyampai radio itu mengakui, pemergian arwah isterinya diratapi dan dicemburui ramai.

“Bertalu-talu saya mendapat mesej dan video dari pelusuk seluruh negara yang menganjurkan bacaan Yassin dan doa selamat buat arwah. Tidak kurang juga menghantar gambar memaklumkan soal hajat dilakukan.

“Malah, ada sebahagiannya daripada nombor telefon yang tidak saya kenali.

“Apakah kebaikan arwah isteri hingga semua orang mahu mendoakan keajaiban dan kesembuhan buatnya? Perkara ini membuatkan saya tertanya-tanya dalam diri sendiri.

“Terlalu ramai ambil tahu mengenai perkembangan diri arwah. Saya tertanya-tanya apakah kebaikan arwah yang saya sendiri tidak tahu. Benar, saya mencemburui pemergiannya,” katanya kepada BH Online ketika ditemui di kaunter bilik jenazah HCTM, pagi ini.

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, dia sudah reda seandainya arwah isterinya dijemput Ilahi sejak berada dalam keadaan kritikal pada Jumaat lalu.

“Kami pernah bercakap soal kematian. Malah, arwah isteri pernah cakap kalau boleh mahu meninggal pada Jumaat penghulu hari kerana mahu mendapat ‘husnul khatimah’ dan lepas seksaan kubur.

“Jika ikutkan, saya reda seandainya Allah mencabut nyawanya ketika nazak dan paras bacaan oksigen menurun pada Jumaat lalu.

“Namun, Allah memberikan arwah sedikit masa lagi untuk hidup. Akhirnya, hari ini arwah pergi juga,” katanya.

Allahyarham Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di ICU, HCTM akibat COVID-19, jam 5.13 pagi ini.

Pemergian penyanyi lagu Semakin itu disahkan oleh Shuib sendiri laman Instagram (IG).

Terdahulu, ibu kepada empat cahaya mata itu berada dalam keadaan koma selepas dan bertarung nyawa akibat COVID-19 selepas lebih 48 jam ditidurkan.

Siti Sarah terpaksa ditidurkan dan melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan melalui pembedahan tanpa sedar, jam 5 petang pada Jumaat lalu.

Pada Jumaat lalu, paras oksigen jatuh sehingga 40 peratus, kemudiannya meningkat 77 peratus pada jam 2 pagi, namun menunjukkan perkembangan positif meningkat sehingga 85 peratus, kelmarin.

Pada 27 Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan dirinya dan keluarga positif COVID-19.

Selain Siti Sarah dan suami, Shuib serta tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, disahkan positif.

Bagaimanapun, Shuib bersama anak-anak disahkan negatif selepas melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari.

Sumber : BH

Tags: , , , , , ,

Category: INFORMASI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *