Insiden kemalangan ngeri yang membabitkan lima kenderaan di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, berdekatan Kulai pada Sabtu lalu menjadi tumpuan netizen. Pemandu lori yang ditahan reman susulan insiden itu telah disahkan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow, ujian saringan air kencing yang dilakukan turut mendapati lelaki berusia 37 dari Shah Alam itu bebas daripada pengaruh dadah.
“Kita sudah mulakan reman kepada pemandu lori tersebut selama empat hari mulai semalam (Isnin).
Setakat ini, kita dapati dia tidak ada rekod jenayah dan ujian air kencingnya juga negatif. Apa pun, dia kini masih dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut,” katanya sewaktu dihubungi pada Selasa.
Ahad lalu, pemandu lori berkenaan telah ditahan kerana disyaki menjadi punca kepada kemalangan besar. Kemalangan ini telah mengakibatkan dua individu rentung setelah kenderaan dinaiki terbakar.
Salah seorang mangsa, dikenal pasti sebagai Nurul Nazihah Kamalul Arifin, 28, manakala identiti seorang lagi mangsa masih belum dapat dikenal pasti.
Jenazah Nurul Nazihah telah selamat dikebumikan kira-kira jam 3.40 petang pada Ahad, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temenin Lama, Kota Tinggi.
Beng Yeow, sementara itu berkata bahawa setakat ini mangsa yang belum dapat dikenal pasti itu dipercayai merupakan seorang lelaki.
Jelas beliau, ia berdasarkan kenyataan daripada sebuah keluarga yang datang ke hospital. Kenyataan mereka adalah pengecaman berikutan anak mereka hilang dalam waktu yang sama.
“Sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mereka juga sudah diambil dan keputusan akan diketahui dalam tempoh dua minggu,” katanya.
Susulan komen-komen daripada netizen di Facebook, ramai yang masih hangat hati atas insiden yang telah meragut nyawa itu.
“Cuai…menyebabkan kematian elok penjara seumur hidup.” “Habis tu nak lepaskan begitu sahaja…. akibat daripada kecuaian,” antara komen-komen daripada netizen.
Sumber: Sinar Harian