Rektor Universiti Ditahan Terima Rasuah RM1.5 Juta. | JAKARTA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Indonesia (KPK) mendakwa Rektor Universiti Lampung (Unila) menerima rasuah sehingga 5 bilion rupiah (RM1.5 juta) bagi meluluskan kemasukan pelajar baharu tahun ini.

Jurucakap KPK, Ali Fikri berkata, suruhanjaya itu menemukan aliran wang dari Ketua Biro Perancangan Awam, Budi Sutomo dan Muhammad Basri selaku Ketua Senat Unila.

Katanya, wang tersebut dipercayai diperoleh daripada keluarga calon pelajar yang lulus kemasukan ke universiti selepas ‘dibenarkan’ oleh rektor Karomani.

“Kesemua duit itu juga disimpan dalam pelbagai bentuk bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Antaranya disimpan sebagai deposit simpanan, wang tunai dan juga jongkong emas yang berjumlah 4.4 bilion rupiah (RM1.3 juta),” katanya seperti yang dilaporkan Kompas.com.

Selain itu, Karomani juga didakwa menerima suapan daripada ibu bapa calon pelajar yang diluluskannya berjumlah 603 juta rupiah (RM181,462).

Jelas KPK, duit itu diberikan kepada Karomani menerusi seorang pensyarah yang diarahkan oleh rektor berkenaan untuk mengumpul duit daripada ibu bapa calon pelajar yang diluluskannya.

Terdahulu, KPK menjalankan satu operasi berhubung kes berkenaan dan menahan lapan suspek.

Menerusi siasatan yang dilakukan, empat suspek didakwa terlibat dalam kes itu termasuk Karomani.

Sumber : UM

Share.

Leave A Reply