Rumah Terbakar Sejam Sebelum Majlis Pertunangan Berlangsung. | Hari bahagia seorang gadis bertukar tragedi apabila rumah keluarganya terbakar sejam sebelum majlis pertunangan berlangsung.
Sebuah rumah musnah terbakar sejam sebelum majlis pertunangan berlangsung di kediaman terbabit di Kampung Parit Mustaffa Darat, Parit Sulong, dekat sini, hari ini.
Saksi kejadian, Izzat Syafaat Ismail, 29, berkata, kejadian berlaku jam 1.20 petang manakala majlis berkenaan dijangka berlangsung pada jam 2.30 petang.
“Kebetulan saya hadir ke rumah berkenaan untuk bertugas sebagai jurugambar majlis pertunangan itu dan saya lihat sendiri api marak membakar rumah berkenaan begitu cepat.
“Keadaan ketika itu agak kelam-kabut kerana ahli keluarga berkenaan tidak sempat menyelamatkan barang hantaran pertunangan termasuk pakaian, peralatan elektrik serta dokumen penting di dalam rumah.
“Ada antara ahli keluarga yang pengsan dan melecur kerana mahu menyelamatkan kereta yang diparkir berhampiran serta ada yang cedera terpijak kaca,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurutnya, kebakaran dipercayai berlaku akibat litar pintas di bahagian dalam rumah manakala keadaan rumah yang berstruktur separa batu dan kayu menyebabkan ia cepat terbakar.
“Mujur tiada kemalangan jiwa dan ahli keluarga serta tetamu yang hadir kira-kira hampir 100 orang dapat menyelamatkan diri,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Johor berkata, kebakaran itu memusnahkan hampir 80 peratus rumah berkenaan dan sebuah motosikal turut musnah dijilat api.
“Seramai 22 anggota bomba bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Pahat, Penggaram dan Yong Peng dihantar ke tempat kejadian.
“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan serta operasi ditamatkan pada jam 3.34 petang,” katanya.
MAJLIS PERTUNANGAN DITERUSKAN
“Majlis pertunangan saya terpaksa diteruskan dan dilakukan dengan hanya menyarungkan cincin sahaja walaupun rumah hangus dijilat api,” kata Nur Hidayah Jahurin, selepas rumahnya terbakar di Kampung Parit Mustaffa Darat, Parit Sulong, dekat sini, hari ini.
Menurut Hidayah, 20, majlis ringkas itu diteruskan bersama pasangannya, Mohd Sahril Sairian, 30, di rumah saudaranya yang terletak bersebelahan rumah pusaka berusia 100 tahun yang hangus terbakar itu.
Menurutnya, mereka melakukan majlis itu ala kadar berikutan semua barang termasuk pelamin, barang hantaran dan makanan untuk tetamu turut hangus.
“Kebakaran berlaku satu jam sebelum majlis bermula yang dijangka pihak keluarga lelaki sampai pada 2.30 petang dan ketika itu saya sedang bersiap untuk majlis berkenaan.
“Ketika sedang bersolek, tiba-tiba saya terdengar bunyi suara riuh dari ruang tamu rumah dan ada yang menjerit ternampak kepulan asap tebal sebelum api marak menyambar pelamin.
“Lepas saya dengar jeritan itu saya terus bergegas keluar dari bilik, tetapi api sudah marak dan kami sekeluarga tidak sempat nak selamatkan apa-apa termasuk dokumen penting dan masing-masing keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hidayah berkata, bapanya, Jahurin Tukiran, 54, pengsan selepas terkejut dengan kejadian terbabit manakala saudaranya berusia 32 tahun cedera akibat terpijak kaca.
Menurutnya, dia bekerja sebagai operator kilang manakala pasangannya adalah peniaga dan mereka merancang mengadakan majlis berkenaan sejak November tahun lalu tetapi terpaksa ditunda kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), baru-baru ini.
Menurutnya, mereka sekeluarga reda dengan ujian yang menimpa dan mungkin ada hikmahnya dengan kejadian itu.
“Alhamdulillah, ahli keluarga terdekat, orang ramai dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah datang membantu memberikan barang keperluan dan pakaian untuk kami sekeluarga.
“Sementara waktu ini, kami sekeluarga menumpang di rumah saudara berhampiran dengan rumah dan pada masa sama kami sedang mencari rumah sewa untuk tempat tinggal,” katanya.
Sumber : Metro