Seorang Lelaki Kehilangan 7 Ahli Keluarga Maut Dlm Kemalangan. | SUKOHARJO: Seorang lelaki kehilangan tujuh ahli keluarga sekali gus dalam kemalangan bas persiaran di Jalan Imogiri-Mangunan, Bantul semalam.

Mulyadi, 49, menceritakan, dia bersama keluarganya mengikuti rombongan berkelah dengan menaiki dua bas persiaran dan dia terselamat kerana menaiki satu lagi bas.

“Antara tujuh ahli keluarga saya yang terkorban termasuklah ibu, kakak dan kakak ipar saya.

“Saya sedih dengan apa yang berlaku, namun saya reda dengan ketentuan ini,” katanya.

Mulyadi turut memberitahu, mereka tidak mempunyai sebarang firasat atau perasaan pelik sebelum bertolak.

“Kami amat gembira untuk berkelah kerana selepas dua tahun pandemik Covid-19, akhirnya kami dapat meluangkan masa bersama keluarga,” ujarnya.

Kemalangan itu berlaku selepas satu daripada dua bas yang dalam perjalanan dari Sukoharjo ke Imogiri hilang kawalan lalu melanggar tebing.

Beberapa sumber memaklumkan, bas tersebut pada mulanya mempunyai kesukaran untuk mendaki jalan berbukit sehingga menyebabkan sejumlah penumpang turun seketika.

Namun, ketika menuruni bukit, bas berkenaan tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh tebing.

Ketika kejadian, terdapat 47 penumpang di dalam bas tersebut dan setakat ini, seramai 13 orang maut termasuk pemandu bas dan 34 cedera.

Sementara itu, pihak berkuasa masih menyiasat punca kemalangan dan pemeriksaan di lokasi kejadian.

Sumber : UM

Share.

Leave A Reply