Seorang Lelaki Maut Selepas Terjatuh Dari Bumbung Sekolah.

| September 5, 2021 | 0 Comments

Seorang Lelaki Maut Selepas Terjatuh Dari Bumbung Sekolah. | LABIS: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menyiasat kes seorang pekerja yang maut selepas terjatuh dari bumbung sebuah sekolah di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pukul 3.50 petang itu, lelaki tempatan berusia 32 tahun berkenaan dipercayai sedang menjalankan kerja membaik pulih bumbung di sebuah sekolah menengah.

Pengarah JKKP Johor, Husdin Che Amat, berkata, hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati mangsa yang bekerja sebagai pekerja am bersama dua orang rakan sekerjanya ditugaskan untuk menyiapkan kerja-kerja penukaran bumbung.

“Mangsa yang berada di ruang atas siling ditugaskan untuk membantu menghulurkan barang kepada rakan sekerjanya yang berada di atas bumbung. Talian nilon berdiameter 10 mm yang diikat di kekuda bumbung disediakan untuk penyambungan ke safety harness.

“Malangnya, mangsa didapati tidak memakai safety harness dan hanya memakai selipar semasa bekerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa turut dipercayai naik ke bumbung dan tergelincir akibat hujan menyebabkan dia terjatuh dari ketinggian 12.5 meter ke permukaan tanah sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 6.20 petang di Hospital Segamat.

Sehubungan itu, JKKP Johor mengarahkan sepasukan pegawai untuk menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kejadian tersebut.

“Kita telah mengeluarkan satu Notis Larangan kepada majikan atas kegagalan untuk menyediakan sistem kerja selamat di tempat tinggi khususnya bagi kerja-kerja penukaran bumbung dan kegagalan untuk memastikan tempat kerja tersebut dalam keadaan selamat.

“Majikan juga diarahkan untuk mengambil tindakan penambahbaikan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi kerja-kerja penukaran bumbung termasuk mengadakan prosedur kerja selamat dan penaksiran risiko.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan,” katanya yang memaklumkan siasatan lanjut akan dijalankan bagi melengkapkan hasil siasatan.

Tambah beliau, pihaknya akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati wujud pelanggaran mengikut peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Husdin berkata, risiko sebenarnya boleh dikurangkan jika majikan menggunakan instrumen yang sistematik yang terdiri daripada tiga proses utama, iaitu pengenalpastian hazard, penaksiran risiko dan kawalan risiko (HIRARC).

Selain itu, majikan boleh merujuk kepada Garis Panduan Pencegahan Jatuh di Tempat Kerja yang dikeluarkan oleh JKKP pada tahun 2007.

Sumber : UM

Tags: , , , , , , ,

Category: INFORMASI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *