Seorang Lelaki Meninggal Dunia Dalam Tahanan Penjara. Ini Puncanya. | PETALING JAYA: Seorang lelaki yang ditahan atas kesalahan dadah dilaporkan meninggal dunia ketika berada dalam tahanan di Penjara Satelit Beranang, Beranang, Selangor selepas disyaki diserang sawan, semalam.

Dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi kelmarin, anggota bertugas dimaklumkan bahawa orang kena tahan (OKT) disyaki diserang sawan dan menghubungi pihak hospital.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, petugas hospital tiba di penjara terbabit pada pukul 10.45 pagi dan membuat pemeriksaan sebelum OKT dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Semasa dalam perjalanan ke hospital, Penolong Pegawai Perubatan mengesahkan OKT meninggal dunia dan punca kematian belum diketahui,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, lelaki tempatan berusia 45 tahun itu dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, kelmarin.

Bagaimanapun katanya, lelaki terbabit tidak mengaku salah dan tiada penjamin.

“Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman akan menjalankan siasatan berkaitan kes itu,” jelasnya.

Sumber : UM

Share.

Leave A Reply