Seorang Lelaki OKU Ditemui Mati Gantung Diri. | KOTA BHARU – Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) yang buta sebelah matanya ditemui mati selepas menggantung diri menggunakan tali nilon pada kipas siling di ruang tamu rumahnya di Kampung Biluk, Banggu di sini semalam.

Mangsa yang berusia 33 tahun dijumpai kira-kira pukul 9 malam dan tindakan itu dipercayai terjadi selepas berlaku perselisihan faham dengan isterinya pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, polis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat daripada sistem talian kecemasan negara yang memaklumkan terdapat seorang lelaki menggantung diri.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati, tiada sebarang kecederaan atau kesan pergelutan pada tubuh badan mangsa.

“Pemeriksaan di sekitar kawasan rumahnya juga tidak menjumpai sebarang perkara yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.

“Siasatan lanjut mendapati, berlaku perselisihan faham antara lelaki itu dan isterinya pada Ahad lalu. Keadaan itu menyebabkan isterinya keluar dari rumah mereka dan tinggal bersama nenek di Kampung Pengkalan Datu, Sering di sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Rosdi, isteri lelaki itu mengetahui kejadian tersebut selepas dihubungi oleh salah seorang rakan suaminya sebelum bergegas pulang dan mendapati suaminya sudah tergantung pada kipas siling di ruang tamu.

Katanya, berdasarkan siasatan, mangsa merupakan OKU penglihatan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya kira-kira tujuh tahun lalu.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk dibedah siasat dan kes diklafikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Mana-mana individu yang mempunyai masalah kemuru­ngan atau menghadapi tekanan boleh menghubungi Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Soko­ngan Psikososial (MHPSS) di 03-29359935 atau 014-3223392 atau Talian Kasih 15999/WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply