Seorang Lelaki Terkejut Jumpa Mayat ‘Kerat Lapan’.

| July 3, 2021 | 0 Comments

Seorang Lelaki Terkejut Jumpa Mayat ‘Kerat Lapan’. | MACHANG: Hasrat pekebun berehat sambil menikmati bekal makan tengah hari, terbantut selepas dia terhidu bau busuk yang kemudiannya membawa kepada penemuan mayat reput dipangkal pokok petai di Lata Cheng, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang, Mohd. Kassim Mohamad, 37, yang sering berehat di tebing sungai di kawasan tersebut bersama seorang rakan tidak jadi menjamah nasinya kerana terganggu dengan bau yang amat busuk tersebut.

Mohd. Kassim berkata dia hairan apabila terlalu banyak lalat di situ dan terfikir kemungkinan ada haiwan yang mati lalu mengajak rakan untuk mengesan punca bau berkenaan.

“Saya ternampak cebisan daging reput di pangkal pokok petai, dan mengesyaki ia mayat manusia kerana terjumpa bahagian seakan-akan jari. Kami terus bergegas keluar dari hutan untuk membuat laporan di Balai Polis Pasir Puteh,” katanya ketika ditemui hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai dakwaan warganet kononnya mayat reput dalam keadaan berkecai yang dijumpai penduduk tempatan di Lata Cheng petang semalam adalah mangsa bunuh yang dikerat lapan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan dakwaan berkaitan ‘kerat lapan’ tersebut kerana siasatan lanjut termasuk bedah siasat masih belum selesai.

Kata beliau, laporan awal penemuan mayat dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh sebelum dirujuk kepada IPD Machang.

“IPD Pasir Puteh terlebih dahulu menjejaki mayat reput di lokasi berbukit semalam namun gagal menemuinya di lokasi asal kecuali kesan tapak kaki haiwan liar.

“Operasi mencari disambung semula pada pukul 10 pagi ini sebelum dijumpai sudah beralih tempat kira-kira tiga meter dari lokasi asal dengan bantuan unit anjing pengesan dan Jabatan Perhutanan Kelantan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Menurut Ganti, kesemua bahagian mayat itu sudah dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat bagi mendapatkan butiran lanjut termasuk anggaran masa kematian, jantina dan punca kematian.

“Sukar untuk dipastikan mayat itu lelaki atau wanita kerana objek yang ditemui adalah tulang yang bercerai dari badan dan beberapa bahagian yang masih berdaging.

“Setakat ini kita klasifikasikan sebagai kejadian mati mengejut namun siasatan lanjut akan diteruskan sama ada mangsa yang ditemui itu boleh dikaitkan dengan unsur jenayah atau sebaliknya.

“Setakat ini pihak polis belum menerima laporan orang hilang yang boleh dikaitkan dengan penemuan mayat berkenaan. Kita akan perincikan semula untuk mencari punca kematian yang masih misteri,” katanya.

Sumber : UM

Tags: , , , , , , ,

Category: INFORMASI, JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *