Seorang Lelaki Terkejut Jumpa Rangka Manusia Di Rumah Ayahnya.  | PETALING JAYA: Polis mengesahkan menemukan rangka mayat manusia yang dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira empat tahun lalu di sebuah rumah di Mutiara Magna di Kepong di sini.

rangka

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, pihaknya menerima laporan pada 5 September lalu daripada seorang lelaki dipercayai anak kepada pemilik rangka yang ditemui.

Menurut beliau, pengadu memaklumkan dia pergi ke kediaman itu untuk berjumpa ayahnya iaitu seorang pesara berusia 74 tahun.

“Bagaimanapun, apabila tiba di rumah pintu dalam keadaan berkunci menyebabkan pengadu bertindak memecahkan pintu rumah tersebut.

“Lelaki itu mendapati ayahnya telah meninggal dunia dalam keadaan hanya tinggal rangka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Sukarno, siasatan mendapati ayah pengadu tinggal berseorangan selepas bercerai dengan ibunya.

Jelasnya, kali terakhir pengadu menghubungi ayahnya pada tahun 2020 dan pengadu sangat terkejut apabila ayahnya sudah lama meninggal dunia seorang diri.

“Bedah siasat telah dilakukan namun punca kematian tidak dapat dikenal pasti. Mayat diserahkan kepada keluarga untuk tindakan selanjutnya,”katanya.

Terdahulu, tular gambar penemuan rangka dalam sebuah rumah di Kepong di sini sejak malam tadi.

Mesej tular itu mendakwa mangsa membabitkan lelaki warga emas yang tinggal seorang diri selepas bercerai.

“Tiada siapa yang tahu dia meninggal dunia dalam tempoh empat tahun, komuniti pun tidak sedar.

“Mangsa pernah memaklumkan kepada orang surau bahawa hajatnya mahu balik kampung. Jadi dalam tempoh mangsa tidak kelihatan, mereka beranggapan mangsa sedang berehat panjang di kampung halaman,” katanya.

Sumber : UM

Share.

Leave A Reply