Seorang Pesakit Covid-19 Ditemui Meninggal Dunia Dalam Rumah. | PETALING JAYA: Seorang pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin kendiri ditemukan meninggal dunia di kediamannya di Jalan PJS 4/10 di sini malam tadi.
Lelaki berusia 41 tahun itu ditemukan tidak sedarkan diri oleh adiknya sebelum menghubungi pihak bomba untuk tujuan mengangkat mayat keluar.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.26 malam sebelum enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penchala digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, ketika tiba, pihaknya mendapati terdapat seorang lelaki dalam sebuah bilik di tingkat bawah rumah teres dua tingkat dalam keadaan tidak sedarkan diri disyaki meninggal dunia.
“Anggota bomba bertindak mengangkat keluar mayat sebelum diserahkan pada pihak polis.
“Siasatan lanjut mendapati mangsa yang tinggal bersama ahli keluarga disahkan positif pada 29 Julai lalu dan menjalani kuarantin di rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norazam berkata, pihaknya dimaklumkan mangsa tidak mempunyai sebarang sejarah penyakit sebelum meracau dan sukar bernafas kira-kira 5.30 pagi semalam.
Jelasnya, pada pukul 12.30 tengah hari semalam, adik mangsa mengejut untuk memesan makanan sebelum dia didapati tidak sedarkan diri.
Sumber : UM