Seorang Wanita Maut Kerana Mahu Cantik.

| October 18, 2020 | 0 Comments

Seorang Wanita Maut Kerana Mahu Cantik. | Kuala Lumpur: Hasrat seorang wanita untuk kelihatan cantik bertukar tragedi apabila dia meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan proses sedut lemak di sebuah pusat kecantikan di sebuah pusat beli-belah di Cheras, semalam.

Meninggal Dunia

Difahamkan mangsa berusia 23 tahun itu melakukan prosedur sedut lemak sebagai persediaan untuk melangsungkan perkahwinan dengan kekasihnya yang juga warga Afrika Selatan pada tahun hadapan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly berkata, mangsa dikatakan berkunjung ke pusat kecantikan itu jam 2.30 petang semalam.

“Siasatan awal mendapati pusat kecantikan itu berdaftar secara sah, namun tidak mempunyai kepakaran untuk melakukan proses sedut lemak.

“Namun, pusat kecantikan yang dimiliki seorang wanita dan anak perempuannya itu tetap meneruskan prosedur sedut lemak berkenaan selepas dikatakan menerima desakan daripada mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.

Saiful Azly berkata, ketika mangsa menerima suntikan pada tangannya, dia mengalami masalah kesukaran bernafas selain muka dan badannya menjadi pucat sebelum pengsan.

“Pihak pusat kecantikan itu kemudian menghubungi ambulans dan mangsa dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia.

“Susulan itu, kami menahan dua beranak berkenaan yang masing-masing berusia 49 dan 23 tahun bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menunggu keputusan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian wanita berkenaan.

“Kedua-dua suspek kini direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 21 Oktober ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat,” katanya.

Sumber : Metro

Tags: , , , , ,

Category: INFORMASI, JENAYAH, KELUARGA, KESIHATAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *