Seorang Wanita Serang Janda Di Kebun Getah. Ini Puncanya. | Palembang: Seorang wanita bertindak nekad menikam sehingga mati seorang janda di kebun getah di Desa Tapus, Kabupaten Muara Enim, Sumatera Selatan, semalam di mana mangsa dipercayai teman wanita suaminya.

Portal Tribunnews.com melaporkan wanita berusia 35 tahun berkenaan dikatakan datang ke kebun getah milik mangsa selepas didorong perasaan cemburunya yang mengesyaki janda itu menggoda suaminya.

Dalam pertemuan itu, suspek bertanyakan perihal hubungan mangsa dengan suaminya serta mengingatkan wanita berkenaan supaya tidak lagi mengganggu rumah tangganya.

Bagaimanapun, peringatan itu tidak diendahkan oleh mangsa yang memberitahu bahawa perkara itu bukan urusan suspek.

Tindakan mangsa itu menyebabkan suspek berang lalu berlaku pertengkaran antara mereka sebelum wanita berkenaan mengambil pisau diletakkan di bahagian pinggang lalu menikam mangsa di bahu kiri hingga terjatuh.

Suspek kemudian menikam lagi mangsa di bahagian perut dan pinggang selain mengelar kedua-dua lengan wanita berkenaan.

Selepas kejadian itu, suspek meninggalkan mangsa yang berlumuran darah di kebun getah berkenaan dan pergi ke Balai Polis Lembak untuk menyerah diri.

Polis turut merampas golok berukuran kira-kira 30 sentimeter serta merampas pakaian yang digunakan suspek ketika kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muara Enim, Danny Sianipar mengesahkan kejadian berkenaan.

Sumber : HM

Share.

Leave A Reply