Seorang Wanita Warga Emas Ditemui Meninggal Dunia Di Sebuah Kondominium.

| November 23, 2020 | 0 Comments

Seorang Wanita Warga Emas Ditemui Meninggal Dunia Di Sebuah Kondominium. | Georgetown: Wanita warga emas ditemukan meninggal dunia di sebuah kondominium di Jalan Kelawai di sini, hari ini.

Wanita berusia 72 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan yang memberi rawatan awal selepas dipanggil ke lokasi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenainya pada 8.10 pagi.

Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat.

“Ketika di lokasi, didapati pintu utama dan jeriji di rumah berkenaan berkunci daripada dalam.

“Berikutan mendapat maklumat awal jiran mangsa, anggota polis yang terdahulu tiba di lokasi turut membantu mengumpil pintu rumah terbabit,” katanya kepada media di sini.

Mengulas lanjut, katanya, pasukan bomba kemudian mengumpil pintu bilik tidur utama yang turut terkunci dari dalam.

Katanya, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia kira-kira 12 jam sebelum ditemui.

“Mangsa dipercayai meninggal dunia selepas terjatuh di bilik air,” katanya ketika dihubungi.

Sumber : Metro

Tags: , , , ,

Category: INFORMASI, KELUARGA, KESIHATAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *