Tengok Video Kakcik Yah Pasti Teringat Masakan Nenek Di Kampung. | KHALIFAH MEDIA NETWORKS :  Georgetown: “Mula-mula saya nak ucapkan terima kasih kepada yang mengikuti video di TikTok Kakcik Yah. Saya akan buat video masakan lebih banyak.”

Kakcik Yah

Begitu pesanan Nariah Ahmad, 75, atau mesra dipanggil Kakcik Yah. Yang kini tular selepas video demonstrasi masakannya tanpa suntingan di aplikasi TikTok, mencuit hati warganet.

Ketika ini, Kakcik Yah sudah mempunyai pembantu peribadi untuk urusan harian. Selain mula merakam video menggunakan ‘stand’ supaya kelihatan lebih baik, berbanding sebelum ini.

Ibu kepada empat anak dan tujuh cucu itu berkata. Dia tidak pernah menyangka video demonstrasi masakan yang dimuat naik di aplikasi itu menjadi tular dan diminati orang ramai.

BUKA AKAUN DAN MUAT NAIK VIDEO SENDIRI

Menurutnya, dia belajar sendiri membuat akaun itu dan memuat naik video setiap aktiviti harian yang dilakukan sama ada bersendirian atau ketika menghadiri acara di kejiranannya.

“Saya memang suka ambil gambar sejak dulu seperti video jalan-jalan dan masakan sebelum memuat naik (di TikTok) tidak lama kemudian untuk kongsi resepi dengan kenalan.

“Saya mula-mula tahu video masakan menjadi viral (tular) beberapa hari lalu apabila jumlah ‘follower’ (pengikut) tiba-tiba meningkat sebelum diberitahu kenalan.

@kakcikyah4♬ bunyi asal 4 – kakcikyah

“Ramai yang cakap suka dan tidak sangka dikongsi oleh ramai termasuk artis terkenal. Banyak komen lucu, ada yang cakap Kakcik Yah comel dan minta buat lagi video kerana rindu nenek mereka di kampung,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Memiliki seramai 249,600 pengikut di TikTok ketika ini, Nariah berkata, dia bersyukur dikurniakan kesihatan baik dan turut mengisi masa lapang dengan mengikuti pengajian al-Quran di kejiranannya.

Katanya, dia tidak mengamalkan pemakanan khusus bagi menjaga kesihatan serta kekal cergas tetapi mengamalkan rutin berjalan setiap hari serta masih mampu berpuasa seharian.

“Sejak tular, saya disapa orang ramai dan diajak bergambar tetapi saya tidak rasa terganggu, malah gembira apabila mereka bertanya khabar.

@kakcikyah4Masak masak Di bulan ramadan♬ original sound – kakcikyah

KAKCIK YAH SUDAH FAMOUS

“Apabila saya ke bazar Ramadan, jiran dan kenalan bergurau mengatakan susah hendak jumpa Kakcik Yah sekarang kerana sudah ‘famous’ (terkenal).

“Memang gembira dapat ramai kawan baharu dan bukan sahaja dewasa. Kanak-kanak juga turut kenal Kakcik Yah,” katanya yang sudah 22 tahun tinggal di Kampung Melayu, di sini.

Menurut Nariah, anaknya juga tidak menghalang aktivitinya di media sosial dan sentiasa memberi sokongan.

“Anak saya tinggal dekat sini (Jelutong) sahaja, dan ada juga di Sungai Petani, Kedah, mereka tidak halang saya buat video.

Kakcik yah

“Hanya itu sahaja aktiviti saya selepas suami (Mansor Ismail) meninggal dunia, lima tahun lalu kerana sakit jantung dan beberapa penyakit lain,” katanya yang berasal dari Kampung Mata Ayer, Perlis.

Katanya, dia akan terus menghasilkan video masakan dan aktiviti harian di media sosial pada masa depan.

“Walaupun nanti orang sudah tidak mahu tengok Kakcik Yah. Saya akan buat (video) juga kerana saya gembira dengan aktiviti itu.

“Apabila orang ramai nampak video Kakcik Yah kongsi resipi (di TikTok). Harap mereka juga dapat doakan kesihatan saya supaya boleh terus buat video,” katanya.

TENTANG KAK CIK YAH

Kakcik Yah berasal dari Arau, Perlis, dan kini menetap di Kampung Melayu di Air Itam, Pulau Pinang bersama anak lelaki bongsunya. Beliau merupakan ibu tunggal kepada empat orang cahaya mata dan tujuh orang cucu.

Suaminya meninggal dunia lima tahun lalu, dan sejak itulah beliau mula mengisi masa lapang dengan aktif di media sosial. Ketika di usia muda, Kakcik Yah pernah berniaga pakaian serta kuih-muih dan bahkan sehingga hari ini masih juga menerima tempahan jika ada permintaan.

Selain memasak, beliau juga gemar melancong ke luar negara bersama rakan-rakan. Beliau pernah ke Korea, Thailand, Vietnam, dan Jakarta dengan mengikuti rombongan.

 

Video : tt kakcikyah

Share.

Leave A Reply