Terdapat lebih 22,000 warga maya menandatangani petisyen dalam talian bagi membantah dakwaan tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap seorang guru sekolah rendah di sebuah daerah di Selangor pada jam 12 tengah hari ini.
Petisyen yang dibuat oleh individu bernama Jamal Yunuh di laman web change.org bertajuk ‘Petisyen Menuntut Keadilan Untuk Guru Fadli Salleh’ mula mendapat maklum balas sejak semalam.
Petisyen itu diwujudkan bagi mengajak orang ramai untuk memberi sokongan kepada Cikgu Fadli Salleh yang didakwa akan diberhentikan kerja atas beberapa pandangan beliau tentang sistem pendidikan negara.
Cikgu Mohd Fadli Mohamed Salleh adalah merupakan pendidik di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak. Beberapa hari yang lepas, beliau mendakwa dirinya berdepan tindakan tatatertib oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hal ini kerana hantarannya di platform media sosial yang menyuarakan pendapatnya tentang beberapa isu melibatkan sistem pendidikan negara.
“Kerana jujur dan mengatakan kebenaran, Kementerian Pendidikan Malaysia nak buang kerja saya. Oh Malaysiaku..” ulas Cikgu Fadli Salleh di laman media sosial beliau sambil memuat naik gambar surat yang diberikan pihak KPM.
Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali dalam kenyataannya bagaimanapun berkata, surat tersebut tidak mempunyai maksud hukuman telah dijatuhkan oleh Lembaga Tatatertib. Sebaliknya, surat itu bertujuan untuk memaklumkan Cikgu Fadli Saleh tentang aduan yang diterima lembaga berkenaan.
“Surat itu bertujuan untuk memaklumkan keperluan Mohd Fadli mengemukakan representasi atau penjelasan bertulis.
“Saya tertarik untuk tahu lebih lanjut perkara yang dibangkitkan Cikgu Mohd Fadli Salleh. Kalau cikgu ada kelapangan masa, boleh kita berjumpa.” tambahnya dalam hantaran ringkas di Facebook.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga sedar tentang isu ini dan berharap agar situasi menang-menang dapat dicapai.
“Saya juga berharap perkara positif dapat didengari selepas selesai mesyuarat Jawatankuasa Disiplin KPM yang bersidang pada Isnin,” kata beliau.
Beliau berkata, sebarang tindakan atau hukuman yang ditentukan perlulah bersesuaian. Walaubagaimanpun, beliau memahami bahawa KPM tidak boleh sewenang-wenangnya membiarkan mana-mana kakitangan mereka membuat komen yang “negatif” secara terbuka.
Sumber: Astro Awani