Tiga Guru Sanggup Berjalan Sejauh 12KM hanya Untuk Memujuk Seorang Murid Ke Sekolah. TERBAIK! | KHALIFAH MEDIA NETWORKS – Selepas ibu bapa, guru adalah insan yang bertanggungjawab untuk mendidik anak bangsa dan mencorak masa depan generasi muda. Peranan guru amatlah besar dalam memastikan anak-anak muridnya mencapai kejayaan. Benarlah kata peribahasa, guru itu ibarat lilin yang menerangi kita semua. Tanpa guru, siapa lagi yang akan mendidik anak bangsa menjadi insan yang berguna.
Setiap guru pasti pernah berhadapan dengan situasi sukar apabila anak murid enggan meneruskan persekolahan, sukar untuk menumpukan perhatian dalam kelas dan sebagainya.
Tetapi, itu semua tidak menghalang guru-guru untuk terus memberikan yang terbaik demi menjamin masa depan generasi muda masa kini. Situasi ini merujuk kepada sikap tanggungjawab tiga orang guru dari SK Buayan yang sanggup berjalan sejauh 12 km semata-mata untuk memujuk seorang pelajar agar kembali ke sekolah.
Menurut laporan NST, seorang murid lelaki Darjah Empat tidak lagi hadir ke sekolah sejak tiga minggu yang lalu. Justeru, guru besar iaitu Matius Kusop telah meminta jasa baik guru untuk memujuk murid berkenaan. Ketiga-tiga guru ini juga terpaksa berjalan kaki selama tiga jam sebelum sampai ke rumah kanak-kanak tersebut.
“Ini adalah percubaan kedua pihak sekolah untuk memujuk murid itu kembali ke sekolah. Ketika lawatan kali pertama, guru kami telah pergi ke rumahnya di Kampung Pongorbonon namun hanya berkesempatan untuk menemui kedua ibu bapanya sementara murid itu tidak tahu pergi ke mana.”
Matius difahamkan bahawa murid berkenaan tidak dapat menghadirkan diri ke sekolah disebabkan oleh kecederaan pada kakinya. Namun, selepas bertemu dengan si bapa, dikatakan murid itu sudah sihat sepenuhnya namun tidak berkeinginan untuk kembali ke sekolah.
Meskipun telah berusaha sebaik mungkin, misi untuk membawa kanak-kanak berkenaan ke sekolah gagal apabila dia nekad untuk tinggal di rumah. Malah, murid ini turut berpaut kuat pada ibunya sehingga menyebabkan pakaian ibunya terkoyak.
“Murid ini seorang pelajar yang pendiam tetapi bagus dalam akademik. Rugi jika dia melepaskannya. Abangnya berhenti sekolah ketika Darjah Enam tetapi kami faham kerana waktu itu, murid-murid perlu berjalan jauh setiap hari untuk ke sekolah. Kini, pihak sekolah telah menyediakan asrama sambil dijaga oleh guru-guru selain diberikan makanan percuma.”
Tambah Matius lagi, “Guru sekolah kami tidak akan mengalah. Kami akan terus memujuknya untuk kembali ke sekolah.”
Usaha yang sungguh murni dan menyentuh hati. Semoga kanak-kanak tersebut lembut hati dan sedar akan kepentingan pendidikan demi mengubah masa depan dia dan keluarga. Ribuan terima kasih juga diucapkan kepada ketiga-tiga guru iaitu Tay Oi Leng, Jeffrey Joseph dan Zeabenia Mositol.
Begitu mulia tugas seorang guru dalam hidup setiap manusia. Kita seharusnya menghargai setiap pengorbanan guru dalam mendidik kita.
Kredit : Era Baru & Sabah Post