Tinggalkan Ibu Di Rumah Jagaan Orang Tua Lepas Bawa Bersiar. | Kita selalu mendengar berita atau kisah ibu bapa yang dibuang oleh anak mereka sendiri. Ada yang sanggup menghantar ibu bapa mereka ke rumah jagaan orang tua walaupun si anak mampu untuk menguruskan ibu bapa mereka sendiri. Ini yang terjadi kepada seorang ibu di indonesia apabila anak-anak bertindak menghantar ibu mereka ke rumah orang tua dan mengumpan untuk bersiar-siar sebelum ditinggalkan. Baca selanjutnya.

MALANG: Seorang ibu boleh membesarkan seramai 10 anak, namun, 10 anak belum tentu dapat membela seorang wanita bergelar ibu.

Itu adalah kenyataan pahit yang terpaksa ditelan oleh seorang wanita warga emas apabila ditinggalkan oleh anak-anaknya di Rumah Penjagaan Griya Lansia Husnul Khotimah di Kecamatan Wajak, Malang, sejak 27 Oktober lalu.

Trimah, 69, yang berasal dari Magelang, Jawa Tengah, berkata, anak-anaknya langsung tidak memberitahu akan menempatkan dirinya di rumah penjagaan tersebut, lapor Kompas.com.

Kata Trimah, anak-anaknya hanya mengajak dirinya bersiar-siar pada hari tersebut.

Ketika tiba di rumah penjagaan itu, Trimah berkata, dia tidak mempunyai pilihan lain dan hatinya amat kecewa kerana terpaksa mengikut kehendak ketiga-tiga anaknya itu.

“Anak-anak pesan supaya saya berhati-hati dan terus bersabar,” luahnya ketika mengenang semula waktu dirinya dihantar ke tempat tersebut.

Trimah mempunyai dua anak perempuan dan seorang lelaki yang tinggal di Jakarta dan Pekalongan, Jawa Tengah.

Meskipun kecewa dengan keputusan anak-anaknya itu, sebagai seorang ibu dia tetap mendoakan yang terbaik buat mereka.

“Saya doakan mereka supaya dipanjangkan umur, diluaskan rezeki serta dipermudahkan segala urusan.Mudah-mudahan mereka masih ingat mempunyai seorang ibu,” titipnya.

Sumber : UM

Share.

Leave A Reply