Tular Video 3 Lelaki Mengamuk Kerana Tak Tahan Bunyi Bising Tadika. | SEREMBAN: Tiga lelaki dipanggil memberikan keterangan susulan laporan polis dibuat oleh seorang pengusaha tadika berhubung perselisihan faham di antara mereka berkenaan mengenai bunyi bising kanak-kanak yang belajar di pusat asuhan tersebut.
Rakaman video yang memaparkan kejadian tersebut turut tular dalam media sosial Facebook hari ini sehingga menimbulkan pelbagai reaksi warganet.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, ketiga-tiga lelaki tersebut telah dipanggil untuk memberi keterangan dan siasatan lanjut dijalankan selepas pengusaha tadika membuat laporan polis hari ini.
“Difahamkan, perselisihan faham berlaku disebabkan jiran terganggu dengan bunyi bising murid tadika berkenaan yang sedang belajar dan ketika kejadian terdapat seramai 76 murid.
“Hasil perbincangan antara pengusaha tadika dan tiga individu terbabit yang dipanggil ke balai polis, mereka telah bersetuju supaya perkara ini tidak dipanjangkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sehubungan itu, Nanda berkata, pihak polis berharap perkara itu tidak lagi diperbesarkan dan penduduk di kawasan berkenaan dinasihatkan supaya bertenang kerana keadaan terkawal.
Beliau berkata, masyarakat juga diminta tidak lagi menyebarkan rakaman video kejadian yang berlaku kerana boleh mendatangkan rasa tidak tenteram penduduk.
Menerusi keterangan pada video yang tular di Facebook, dinyatakan tiga lelaki telah mengamuk di tadika terbabit sehingga menimbulkan ketakutan pada guru dan murid-murid.
Kejadian itu berlaku pada pukul 11.45 pagi dan suspek dikatakan telah menggunakan besi mengetuk pintu tadika sambil mengeluarkan perkataan yang berunsur mengugut.
Berdasarkan keterangan video, punca mengamuk disebabkan bunyi bising murid-murid belajar.
Sumber : UM