Tular Video DS Najib Dihalau. Pemilik Kedai Tampil Jelaskan Cerita Sebenar. | PUTRAJAYA: Seorang peniaga wanita di Melaka kecewa difitnah aktivis politik terkenal tanah air kononnya bertindak biadab menghalau Datuk Seri Najib Tun Razak dari kedainya.

Melalui hantaran dalam akaun sosialnya, Dak Lin Celup Tepung Pantai Siring, Hasnida Musa menafikan tohmahan yang kemudian ditularkan pula oleh warganet tidak bertanggungjawab.

“Kata akak konon tutup kedai pada Ahad itu walhal kita berniaga macam biasa, dakwaan itu tak betul, fitnah melampau yang merosakkan nama baik kedai akak,” katanya berterus terang.

Perkongsian pemilik kedai makanan di jeti anjung Umbai menerusi video berdurasi 2 minit 46 saat itu turut tular apabila meraih lebih 7,000 tanda suka tidak sampai sejam ia dimuat naik.

Semalam, aktivis berkenaan membuat hantaran yang mendakwa kononnya pelanggan keluar apabila Najib datang meninjau kawasan tersebut.

Beliau dengan angkuh turut membuat cerita yang menyatakan peniaga hidangan Terengganu popular di situ menutup premisnya kerana enggan membenarkan Najib masuk ke kedainya.

Dakwaan palsu itu menerima reaksi balas ramai warganet pro-Barisan Nasional (BN) yang memuat naik versi situasi sebenar, sekali gus menepis tohmahan tidak berasas berkenaan.

Ia memaparkan Najib dalam keadaan santai bersembang dengan masyarakat di situ sebelum dipelawa masuk ke premis berkenaan, manakala petugas kedai menyajikan makanan di meja.

Mengulas lanjut, Hasnida berkata, pada hari kejadian air laut di sebelah kedainya pasang agak tinggi menyebabkan meja dan kerusi di luar kedai segera dipindahkan ke dalam kedai tersebut.

“Kami kebetulan tengah kemas meja dan Bossku pula datang awal namun ketika kami sibuk alih, beliau beramah mesra dengan pengunjung,” katanya yang merujuk Najib sebagai Bossku.

Peniaga itu dalam nada terharu berkata, dirinya agak teruja apabila dimaklumkan Najib akan datang menjamu selera di kedainya kerana beliau baru lapan hari berpantang selepas bersalin.

Sementara itu, akaun Hasnida menerima hampir 1,400 komen kata-kata semangat selepas Najib turut menulis ulasan mendoakan rezeki peniaga tersebut agar murah dan dilindungi Allah.

Bekas Perdana Menteri itu juga mengucapkan terima kasih atas layanan mesra dan hidangan yang sedap sambil mempromosikan orang luar untuk datang mencuba hidangan di premis ini.

“Tidak mengapa. Saya sudah biasa difitnah. Dalam politik ni macam-macam ada. Terima kasih atas penjelasan ini,” komennya yang menerima lebih 8,800 tanda suka dalam sejam sahaja.

Kedatangan mengejut beliau ke Melaka untuk bercuti pada hujung minggu itu secara kebetulan berlangsung sehari sebelum penamaan calon Pilihan Raya Negeri tersebut semalam.

Sumber : UM

Share.

Leave A Reply