Tular Video Orang Awam Selamatkan Keluarga Dalam Sungai. | KHALIFAH MEDIA NETWORKS : BAGAN SERAI – Tindakan berani dua lelaki berjaya menyelamatkan enam sekeluarga daripada lemas selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam parit di Kilometer 15, Jalan Selama-Bagan Serai, Sabtu lalu.
Kejadian sekitar jam 3.45 petang itu. Disaksikan oleh kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Kamal Ramli, 36, yang turut membantu mangsa kemalangan.
Menurutnya, dia yang dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu, Terengganu. Melihat kereta mangsa yang berada di hadapannya telah terlanggar tiang elektrik sebelum terjunam ke dalam parit.
TANGISAN DAN JERITAN KANAK-KANAK
“Menggigil melihat kejadian berlaku depan mata. Tambahan dengar tangisan kanak-kanak dan jeritan kuat minta tolong dari tempat duduk belakang sambil menggapai tangan.
“Saya yang panik terus meminta bantuan pengguna jalan lain. Sampailah dua lelaki bermotosikal berhenti dan tanpa fikir panjang terus terjun. Mereka mendapatkan tiga kanak-kanak yang masih kecil untuk dibawa ke tempat selamat,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi 35 saat di media sosial. Memaparkan kereta jenis Proton Iriz berwarna hitam telah terbabas ke dalam parit yang dipenuhi air.
Menerusi video itu, seorang kanak-kanak lelaki yang berada di bahagian penumpang belakang meraih bahu lelaki yang berenang ke arahnya dan terdapat seorang lagi kanak-kanak didukung oleh remaja perempuan berusia 13 tahun.
SYUKUR SEMUA SELAMAT
Dalam pada itu, seorang wanita yang duduk di bahagian penumpang hadapan turut menghulurkan kanak-kanak dipegangnya kepada seorang lelaki lain untuk diselamatkan.
Tambah Kamal, dia bersyukur kesemua mangsa berjaya diselamatkan sebelum kereta terbabit tenggelam.
“Saya sendiri pun menggigil hendak turun berikutan trauma kerana mempunyai pengalaman hampir lemas ketika kanak-kanak dahulu.
Niat saya merakam kejadian itu adalah untuk hargai keberanian abang tersebut dan beberapa individu lain yang sanggup terjun membantu mangsa kemalangan itu walaupun air ketika itu sangat dalam,” katanya.
Dia juga terkejut video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya dibanjiri dengan pujian daripada warganet yang mengagumi tindakan pantas orang awam membantu menyelamatkan mangsa kemalangan.
PUNCA KERETA TERJUNAM
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff berkata, kesemua mangsa dalam perjalanan dari Selama menuju ke Bagan Serai.
Menurut beliau, kemalangan berlaku apabila kenderaan terbabit cuba mengelak sekumpulan monyet sebelum terbabas.
“Kereta berkenaan melanggar sebatang tiang elektrik dan terjatuh dalam parit di sebelah kanan jalan.
“Kesemua mangsa telah diselamatkan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian dan dibawa menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Parit Buntar,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Juna berkata, kesemua mangsa dibenarkan pulang pada hari sama selepas pemeriksaan mendapati tiada sebarang kecederaan serius.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu lintas 166/59.
@_mrkay_Akak ni terbabas langgar tiang lampu then jatuh ke sungai..nasib baik abg ni ada..tq org baik