Tular Video Peluk Islam Di Wad Covid. Ini Keadaan Terkini Wanita Itu. | Baru-baru ini tular satu video seorang pesakit Covid-19 melafazkan kalimah syahadah ketika beliau dirawat di sebuah hospital di sandakan. Warga emas berkenaan berkongsi perbezaan selepas beliau memeluk agama Islam. Baca selanjutnya.
Sandakan: Warga emas yang videonya tular melafazkan kalimah syahadah di wad Covid-19 Hospital Duchess of Kent (HDOK) sudah belajar memakai tudung.
Nur Laila Abdullah, 65, berkata, hatinya terasa ringan dan segala bebanan fikiran hilang.
Menurutnya, dia sememangnya berniat memeluk Islam sejak sekian lama.
“Saya sudah lama mahu memeluk Islam tapi belum kesampaian sehinggalah baru-baru ini ketika berada di hospital saya mengambil keputusan berkenaan.
“Lepas memeluk Islam, rasa ringan berbanding sebelum ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Nur Laila berkata, kesihatannya juga bertambah baik.
“Saya tidak perlu menggunakan mesin bantuan pernafasan. Saya juga boleh bercakap berbanding sebelum ini,” katanya.
Nur Laila berkata, dia ada mencuba memakai tudung baru-baru ini.
“Saya sudah biasa memakai penutup kepala tapi masih rasa ada perbezaan bila pakai tudung namun saya sedikit teruja,” katanya.
Katanya, dia berharap segera sembuh dan dibenarkan pulang seterusnya bertemu anak-anak tersayang.
Terdahulu, video wanita itu yang memeluk Islam tular di laman sosial.
Anak Nur Laila itu memaklumkan dia meminta bantuan jururawat untuk membantu ibunya melafazkan kalimah syahadah pada 9 September lalu ketika wanita itu berada di tahap lima Covid-19.
Sumber : HM