Undi Percaya PM. Menteri Undang-Undang Dedah SESUATU.

| September 7, 2021 | 0 Comments

Undi Percaya PM. Menteri Undang-Undang Dedah SESUATU. | PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong memberitahu Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob bahawa beliau tidak perlu melalui proses undi percaya di Dewan Rakyat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, perdana menteri memberitahu perkara itu kepadanya ketika mesyuarat Kabinet pertamanya.

“Sebenarnya, ketika perdana menteri menghadap Tuanku, beliau mendapat perkenan Tuanku bahawa beliau tidak perlu mengadakan undi percaya.

“Saya tahu kerana perdana menteri beritahu saya perkara ini semasa mesyuarat Kabinet pertama kami,” katanya dalam sidang media hari ini.

Wan Junaidi berkata, berdasarkan pandangan peribadinya, Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa tertinggi kepada Agong untuk melantik perdana menteri berdasarkan siapa yang baginda percaya mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Parlimen.

Merujuk kepada 114 Ahli Parlimen yang menyokong Ismail turut mengesahkan sokongan mereka kepada Agong, katanya, beliau tidak menjangkakan ada dalam kalangan mereka yang akan mengubah pendirian dalam waktu terdekat.

“Perubahan ini mungkin boleh berlaku dalam masa enam atau tujuh bulan. Tetapi sekarang, dalam tempoh singkat ini, apabila perdana menteri baharu menduduki kerusinya, saya tidak fikir mereka akan menarik balik sokongan mereka.

Terdahulu, dilaporkan usul undi percaya tiada dalam agenda mesyuarat Dewan Rakyat yang akan bersidang minggu depan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang baharu menerima aturan urusan mesyuarat Parlimen untuk persidangan itu berkata, terdapat usul memilih Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan membahaskan titah Agong.

Walaupun Ismail tidak menyatakan secara jelas sama ada beliau akan menguji sokongannya di Dewan Rakyat, Peguam Negara, Idrus Harun pada Sabtu lalu dilaporkan berkata, tiada keperluan mengadakan undi percaya terhadap perdana menteri baharu di Parlimen.

Jika keabsahan Ismail masih perlu diuji mana-mana pihak selain Agong katanya, ia bermakna kuasa mutlak Agong boleh diatasi pihak lain.

Sumber : FMT

Tags: , , , , ,

Category: INFORMASI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *