Usul Undi Percaya. Ini Komen Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang. | KUALA LUMPUR: Ahli-Ahli Parlimen Blok Pembangkang bersependapat bahawa satu mesyuarat khas Parlimen mesti diadakan sesegera mungkin dan tidak lewat dari 9 Ogos.
Menerusi satu kenyataan bersama, mereka berkata mesyuarat khas di bawah Peraturan Mesyuarat 11(3) itu adalah untuk membentang, membahas dan memutuskan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri.
“Kami tidak boleh menerima isu sokongan terhadap Perdana Menteri ini ditangguhkan sehingga bulan September.
“Adalah amat tidak munasabah bagi sebuah Kerajaan yang dipertikai keabsahan dan sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen untuk melengah-lengahkan proses menentukan sokongan di Parlimen.
“Ini kerana kami mengambil kira keadaan pandemik yang terus mencengkam rakyat, jumlah kematian akibat wabak COVID-19 yang terus meningkat begitu tinggi setiap hari, situasi ekonomi yang terus lesu dan persoalan kestabilan kerajaan yang mesti diselesaikan sekarang,” memetik kenyataan itu.
Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh tiga pemimpin utama Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), Mohamad Sabu (Amanah) dan Lim Guan Eng (DAP).
Turut bersama mengeluarkan kenyataan itu adalah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO), Baru Bian (PSB), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda) dan Maszlee Malik (Bebas)
Justeru, mereka berpendirian bahawa usul undi percaya tersebut wajib dibentang, dibahas dan diputuskan segera sekali gus menamatkan isu keabsahan Perdana Menteri.
KENYATAAN MEDIA
BERSAMA PARTI-PARTI PEMBANGKANG
4 Ogos 2021
PENOLAKAN KEPIMPINAN TAN SRI MAHIADDIN
Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan bersama Ahli-Ahli Parlimen Tuaran (UPKO), Simpang Renggam (Bebas), Selangau dan Sri Aman (PSB) menegaskan bahawa kami tetap menolak kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin.
Adalah mustahil Tan Sri Mahiaddin masih mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat selepas pengumuman penarikan balik sokongan sejumlah Ahli Parlimen Kerajaan semalam.
Kami juga kekal dengan pendirian bahawa Tan Sri Mahiaddin dan seluruh Jemaah Menteri mesti meletakkan jawatan.
Anwar Ibrahim
(Parti Keadilan Rakyat, KEADILAN)
Mohamad Sabu
(Parti Amanah Negara, AMANAH)
Lim Guan Eng
(Parti Tindakan Demokratik, DAP)
Wilfred Madius Tangau
(Pertubuhan Kinabalu Progresi Bersatu, UPKO)
Baru Bian
(Parti Sarawak Bersatu, PSB)
Masir Kujat
(Parti Sarawak Bersatu, PSB)
Maszlee Malik
(Bebas)
Sumber : Astro