Viral Bekas Pelajar Hadiahkan Kereta. Ini Luahan Guru. | SEREMBAN: “Andai dapat diulang masa, saya tetap ingin terus menjadi guru di Kolej Tunku Kurshiah (TKC),”.
Demikian luah Ahmad Bidin, 58, ketika ditemui di kediamannya di Taman Bukit Nibong, Sikamat, di sini.
Kisahnya menjadi tular apabila dia menerima sebuah kereta Perodua Aruz yang disumbangkan oleh 38 kumpulan (batch) pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari tahun 1980 hingga 2021 dan A Level, TKC sempena persaraannya baru-baru ini.
Menurut Ahmad, dia juga tidak menyangka segala ilmu yang dicurahkan kepada anak muridnya diberikan balasan sebuah kereta sebaik sahaja dia bersara.
“Boleh dikatakan sumbangan ini dari pelbagai generasi anak murid, malah, ada daripada sebelum saya mengajar di sekolah itu lagi. Mungkin disebabkan bekas pelajar itu juga mempunyai anak yang belajar di sekolah yang sama.
“Ramai daripada mereka sudah berjaya, ada jadi doktor, jurutera, peguam, ketua pegawai eksekutif, bahkan ada juga yang menjadi rakan sekerja bersama saya dan bergelar guru serta pengetua,” katanya yang mengakui sangat tersentuh hati dan bersyukur dengan pemberian hadiah sebuah kereta tersebut.
Sementara itu, Ahmad berkata, walau di mana sahaja seorang guru itu ditempatkan untuk mengajar, cabarannya pasti bertukar serta bertambah setiap tahun.
“Guru ini boleh diibaratkan seperti lilin yang membakar dirinya sendiri. Walau ada pihak yang kini tidak berapa setuju dengan perumpamaan tersebut, bagi saya, ia tepat menggambarkan diri seorang guru.
“Ada masanya, guru ini kena memendam rasa, melepaskan egonya sendiri bagi memastikan anak-anak didiknya berjaya,” katanya lagi.
Tambah beliau lagi, sesiapa sahaja yang bergelar guru sewajarnya tidak perlu cepat berkecil hati dengan kata-kata ibu bapa yang kadang-kala dikuasai emosi marah sekiranya terdapat isu membabitkan anak mereka.
Katanya, sudah menjadi lumrah ibu bapa akan mengeluarkan kata-kata berkenaan, namun, guru perlulah berjiwa besar serta tidak perlu terlalu mengambil perhatian terhadap emosi marah tersebut.
“Sikap ini memang perlu ada dalam diri guru, ikhlas dalam melaksanakan tugas dan sentiasa mencari kebaikan dalam diri siapa sahaja terutamanya anak murid,” katanya lagi.
Ahmad yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebanyak tiga kali sepanjang 35 tahun perkhidmatannya menyatakan, dia juga tidak pernah berasa ‘terpaksa’ dalam menjadi seorang guru kerana bapanya, Allahyarham Bidin Abdul Majid juga merupakan seorang guru.
Jelasnya, sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Sains Negeri Sembilan yang kini dikenali Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar pada tahun 1980, dia mendapat biasiswa Kementerian Pendidikan bagi melanjutkan pelajaran.
“Semasa terima biasiswa itu, saya sudah tahu saya akan bergelar guru. Saya terima hakikat itu dan mencuba yang terbaik bagi memastikan semua anak murid saya akan dapat cemerlang dalam akademik serta kehidupan.
“Saya melanjutkan pengajian dalam bidang matematik di University of Queensland di Australia selama empat tahun. Selepas itu, saya menyambung latihan di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim bagi Sijil Perguruan Lepasan Ijazah (SPLI) bagi pembelajaran kaedah yang tepat bagi mengajar,” katanya lagi.
Sumber : UM