Wanita Cemas, Tiga Penjenayah Cuba Pecah Masuk Rumah Baharu | Seorang wanita cemas apabila mendapati rumah kediaman yang baru sahaja diduduki bersama keluarga cuba dipecah masuk tiga penjenayah ketika Syawal kedua.
Menerusi klip video yang dimuat naik di TikTok @Norasiahyusoff92 memaparkan tiga lelaki bersenjatakan parang cuba memecah masuk rumahnya melalui pintu belakang, tetapi tidak berjaya.
“Dugaan raya kedua, ada orang nak cuba masuk ke dalam rumah malam itu.
“Tiga orang datang senjatakan parang, masuk melalui pintu dapur, tetapi semasa cubaan masuk melalui tingkap dapur, mereka tidak berjaya kerana ada pagar,” katanya.
Video itu juga memperlihatkan penyamun-penyamun itu berlegar-legar di sekitar garaj dan sekitar rumah.
“Sampai sekarang kami trauma takut sebab tengok rakaman televisyen litar tertutup (CCTV). Nasib baik sempat pasang CCTV sebelum duduk di sini. Penggera sahaja tidak sempat pasang,” katanya.
Tambahnya, dia berasa sangat bersyukur tidak berlaku apa-apa.
“Alhamdulillah, mereka tidak berjaya masuk ke rumah. Allah masih melindungi kami sekeluarga,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, orang ramai turut berasa risau dengan kejadian tersebut.
“Pasang ‘alarm auto detect’ (penggera pengesan automatik) tu, memang menggelupur dia cuak,” cadang Siti NurFatihah.
“ Ya Allah takutnya, manusia kalau terdesak bukan sahaja menyamun, membunuh pun boleh. Semoga akak sekeluarga sentiasa di bawah lindunganNya,” kata Nur Asmida Karim.
“Rumah baharu memang dituju pencuri, berhati-hati ya. Saya pernah kena, mereka kopak pagar. Syukur cincin sahaja yang hilang pada masa itu. Duit pula memang tidak disimpan di dalam rumah,” komen Mamadilkualakedah.
SUMBER: KOSMO
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Tiga Lelaki Ditahan Samun & Tumbuk Guru Wanita
Tiga lelaki warga tempatan yang melakukan samun berkumpulan dengan menyasarkan rumah berpenghuni telah berjaya dicekup pihak polis, Ahad lalu.
Ketiga-tiga suspek yang berusia lingkungan 26 hingga 35 tahun telah ditahan di Damansara dan juga Petaling Jaya kira-kira pukul 12.30 tengah malam hingga pukul 5.15 petang.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan pada 25 Februari berkenaan kejadian samun berkumpulan di sebuah rumah di Taman Pelangi, Sentul.
“Mangsa merupakan seorang wanita warga tempatan berusia 45 tahun, bekerja sebagai seorang guru. Ketika kejadian mangsa yang berada di dalam bilik telah ditumbuk di muka, dipukul di bahagian leher dan diikat dengan menggunakan wayar.
“Sebuah telefon bimbit, seutas jam tangan, kad bank dan juga wang tunai bernilai RM6,000 kemudian dilarikan suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Eng Lai, hasil siasatan mendapati modus operandi kumpulan itu adalah melakukan samun secara berkumpulan dengan menyasarkan rumah yang berpenghuni.
Sehubungan itu, polis berjaya merampas seutas jam tangan milik mangsa, dan dua buah telefon bimbit pelbagai jenama termasuk serangkai anak kunci, sebuah motosikal dan beberapa helai pakaian yang digunakan oleh suspek ketika kejadian.
“Kesemua suspek didapati mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau dan telah direman di Ibu Pejabat Daerah Sentul bermula Ahad lepas sehingga hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
“Berikutan itu, kita berjaya menyelesaikan empat kes di Kuala Lumpur dan satu lagi kes di Selangor,” ujarnya.
Sumber: Kosmo