Wanita Ini Sebabkan Kemalangan Terburuk Berlaku.| PARIS: Seorang peminat lumba basikal wanita berdepan hukuman penjara hingga setahun selepas menyebabkan kemalangan terburuk dalam sejarah Tour de France yang mana dia kemudian melarikan diri.
Pendakwa raya di wilayah Brittany, hari ini, melancarkan siasatan jenayah selepas suspek wanita – yang belum dikenal pasti dan yang sedang melarikan diri – dirakam menyebabkan kemalangan, semalam.
Dia tersenyum sambil memegang kadbod di depan kumpulan pelumba dari Brest ke Landeneau pada peringkat pertama perlumbaan terkenal dunia itu.
Wanita yang dikatakan berasal dari Jerman itu sedang memandang ke arah kamera televisyen di atas motosikal dengan membelakangi kumpulan pelumba yang sedang memecut laju dan seorang pelumba – Tony Martin – melanggarnya.
Martin terjatuh dan memberi kesan mengerikan apabila ia turut menyebabkan kemalangan membabitkan kumpulan besar pelumba.
Kemalangan itu menyebabkan banyak kecederaan serius, termasuk yang dialami Jasha Sutterlin, seorang lagi pelumba Jerman yang terpaksa menarik diri dari pertandingan.
“Penonton yang menyebabkan kemalangan ini meninggalkan tempat kejadian sebelum kedatangan kumpulan penyiasat,” kata jurucakap.
“Usaha sedang dilakukan untuk mencarinya.”
Sementara itu, pendakwa raya mengesahkan bahawa mereka membuka siasatan jenayah kerana ‘melanggar peraturan keselamatan dan menyebabkan kecederaan yang boleh menghalang seseorang bekerja hingga tiga bulan.’
Ini adalah kesalahan yang boleh didakwa di Perancis dan boleh dihukum penjara sehingga satu tahun dan denda di bawah £13,000 (RM74,933).
Timbalan Pengarah Perlumbaan Tour de France, Pierre-Yves Thouault juga mengatakan bahawa pihak penganjur sudah mengajukan aduan terhadap wanita itu yang kini boleh menghadapi tindakan undang-undang.
“Ini adalah tingkah laku yang tidak dapat diterima,” katanya.
“Terdapat peraturan keselamatan yang harus dipatuhi. Penonton tidak boleh melintas jalan, mereka tidak boleh mengambil gambar ‘selfie’.”
Crazy crash at Tour De France 2021 🇫🇷
A fan who was holding a message to her grandparents & grinning for the cameras took out most of the peloton with a cardboard sign 🚴♀️ 🚴♂️ 🚴 #TDF2021 pic.twitter.com/OEZmiSjBE9
— Nigel D’Souza (@Nigel__DSouza) June 26, 2021
Sumber : BH