Pengorbanan seorang wanita menjaga suaminya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal mengundang perhatian warganet di laman Facebook.
Kisah wanita dikenali sebagai Cikgu June itu dikongsi seorang aktivis kemanusiaan, Hamsatul Hamzah yang tampil menghulurkan bantuan kepada pasangan tersebut baru-baru.
Menurut Hamsatul, Cikgu June terpaksa menggendong suaminya Mazlan Othman turun naik di bangunan kediaman mereka setiap kali melakukan rawatan susulan di hospital.

“Memahami kepayahan yang dihadapi oleh seorang isteri yang tabah dan setia, dimana setiap kali adanya rawatan susulan di hospital, beliau akan mengendong suaminya yang sakit dari tingkat 4 kediaman mereka sehingga ke bawah.
“Tanpa jemu sentiasa berada disamping suami apabila tiap kali adanya janji temu berjumpa dengan doktor,” tulisnya.
Hamsatul berkata, pihaknya dengan kerjasama Persatuan OKU Berdaya Hulu Langat telah meringankan beban pasangan tersebut.
“Kini, beban beliau dapat dikurangkan apabila Persatuan OKU Berdaya Hulu Langat bersama-sama membantu beliau membawa suaminya ke hospital.
“Semoga Allah mempermudahkan segala urusan Cikgu June sekeluarga dan Allah mengurniakan sebaik-baik kesembuhan buat suami beliau,” kata Hamsatul.
Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut dikongsi mengenai punca kesakitan dihadapi oleh suami Cikgu June yang dipercayai sudah lama terlantar sakit sehingga tidak mampu menguruskan diri.
Sementara itu, Cikgu June yang dipercayai guru tadika itu dilihat sekali sekala berkongsi keadaan suaminya menerusi muat naik video di aplikasi TikTok.
@junenick81 😘😘😘
Meninjau reaksi netizen, rata-rata meluahkan rasa simpati dan mendoakan wanita tersebut terus cekal serta tabah menjaga suaminya selain pengorbanan dibalas Allah SWT.
Sumber: OMM
Baca Juga: Suami, Cekal Jaga Isteri OKU. Seorang suami cekal menjaga isterinya yang kurang upaya (OKU) sejak lahir. Pendapatannya yang hanya cukup-cukup makan menyebabkan mereka hanya mampu menggunakan kerusi roda untuk ke sesuatu destinasi. Baca selanjutnya.
Seorang wanita yang merupakan orang kurang upaya (OKU) cacat kaki dan tangan serta suaminya dari Kampung Bagan Dalam, dekat sini cekal menjalani kehidupan dengan hanya berkerusi roda untuk ke satu-satu destinasi.
Siti Aminah Jamalludin, 30, yang cacat sejak dilahirkan berkata, kerusi roda sumbangan Zakat Pulau Pinang (ZPP) itu merupakan pengangkutan utama setiap kali dia dan suami, Mohd. Sofi Osman, 38, ke pekan berhampiran untuk membeli barangan keperluan.
“Memang suami akan bawa saya dan anak bongsu, Siti Farhana yang berusia dua tahun ke pekan terdekat untuk membeli barangan keperluan sebab kami tiada pengangkutan.
“Malah, pendapatan suami yang hanya mengambil upah harian dengan membaiki kenderaan juga tidak mampu menampung perbelanjaan lebih-lebih lagi duit untuk tambang (pengangkutan awam). Jadi, kami hanya guna kerusi roda saja untuk bergerak ke mana-mana,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.
“Disebabkan tak mampu dari segi kos dan kudrat suami, kami terpaksa menghentikan rutin pemeriksaan Siti Farhana di Hospital Seberang Jaya sejak setahun lalu.
“Mujur ketika ini dia (Siti Farhana) tidak mengalami sebarang gangguan kesihatan,” katanya yang turut mempunyai seorang lagi anak lelaki, Mohd. Aliff Irfan Mohd. Sofi, 9, yang dilahirkan normal.
Terdahulu, kisah pasangan itu tular apabila salah seorang pengguna media sosial merakam detik Mohd. Sofi menolak kerusi roda Siti Aminah bersama anak perempuan mereka dalam keadaan cuaca terik di persimpangan lampu isyarat dekat Bagan Luar, di sini yang mengundang rasa simpati warganet.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada keluarga berkenaan boleh menghubungi Mohd. Sofi menerusi 016-9305211.
Sumber: KMN